17 August 2009

Ramuan Bawang Putih, Madu dan Cuka Epal Untuk Kesihatan Seisi Rumah

Musim demam selsema ini amat membimbangkan kita semua tambahan lagi adanya penularan virus H1N1/09. Ekoran dari ketakutan dan kebimbangan sebahagian daripada kita terhadap wabak berjangkit ini (pandemic) pelbagai tips disebarkan untuk mengelakkan dari dijangkiti virus merbahaya ini. Ini termasuk sms yang saya terima daripada seorang rakan berkenaan rahsia mengapa orang cina kurang dijangkiti dan tiada kes kematian dikalangan bangsa itu sejak penularan virus tersebut. Amalan pemakanan orang cina yang gemarkan bawang putih adalah antara faktor mereka kurang mendapat jangkitan virus H1N1/09. Juga didapati tips mengambil supplement vitamin C secara kerap dan lebih dari seperti biasa. Sebaran tentang kelebihan bawang putih dan vitamin C dalam mengelakkan jangkitan virus secara saintifiknya adalah benar.



Bawang Putih dikatakan berasal dari China.


Dalam pada itu, janganlah dalam isu ini kita mengaitkan dengan semangat perkauman dan menganggap bangsa lain menyembunyikan tips-tips kesihatan ini daripada bangsa lain dengan tujuan perkauman. Bukan seperti itu, malah apa yang sebenarnya berlaku adalah tahap kesedaran kita dalam penjagaan kesihatan amat kurang dan kita tidak sensitif dengan persekitaran kita berbanding dengan bangsa lain. Kerana apa ianya berlaku sedemikian ? Ini kena buat kajian lanjut mengapa berlakunya sedemikian. Sedangkan dalam Musnad Imam Ahmad dilaporkan Nabi sholallahu'alaihiwasallam bersabda bermaksud:

"Allah Ta'ala tidak menurunkan suatu penyakit melainkan Dia menurunkan sekali dengan penawarnya.Barangsiapa yang sedar akan penawar itu, dia tentu tahu tentangnya dan barangsiapa yang tidak sedar akan penawar itu dia tidak akan tahu tentangnya" Mereka yang jahil tentangnya maka dia tidak akan menyedarinya" -(An-Nasaie, Ibnu Majah, Al-Hakim dan Ibn Hibban) -Rujukan Prophetic Medicine Ibnu Qayyim al-Jauziyah.

Bagaimanapun, bawang putih bukan hak milik eksklusif bangsa cina atau bangsa lainnya kerana bawang putih adalah milik semua. Buktinya ialah walaupun asal bawang putih daripada negeri China tetapi tumbuhan ini juga boleh hidup di Malaysia, kebenarannya negara Malaysia kita adalah negara Asia. Jangan hairan kerana didapati bawang putih juga tumbuh liar di selatan Perancis dan juga Itali. Malah sejarah membuktikan bawang putih pertama ditanam di Amerika dibawa oleh orang Perancis. Sejarah Mesir purba juga menyatakan masyarakat Mesir purba menyembah tumbuhan ini kerana "kuasanya" memberi kekuatan kepada pemakannya. Nikmat ini adalah rahmah Allah Ta'ala kepada manusia keseluruhannya, ia terpulang kepada kita untuk menikmati rahmat ini atau tidak dengan memerhatikan segala hasil ciptaan Allah Ta'ala.

Sebenarnya disini, saya ingin berkongsi tips ramuan daripada bahan-bahan yang Allah Ta'ala berikan kepada kita untuk meningkatkan tahap kesihatan dan mengelakkan sebarang jangkitan. Ramuan ini meningkatan stimulasi pertahanan tubuh, merendahkan tekanan darah begitu juga tahap kolestrol, mengurangkan demam dan jangkitan. Ianya juga membantu melegakan penyakit gout, arthritis dan sakit sendi. Boleh juga dibuat tonik untuk penghadaman dan untuk kebaikan kulit, dan juga mengurangkan berat badan.

Umumnya, ramuan ini memberi kebaikan yang menyeluruh kepada kesihatan kerana ia mengerakkan dan meningkatkan sistem pertahanan tubuh. Insyallah ! Anda tidak perlu gusar, kerana bahan ini boleh didapati dengan mudah malah pastinya setiap rumah ada menyimpan bahan-bahan ini.

Bahan tersebut adalah madu, bawang putih dan cuka epal (apple cider vinegar). Bagaimanapun bahan seperti madu hendaklah yang asli mentah, maksudnya madu yang tidak dilakukan apa-apa penambahan dalam kandungannya dan juga tidak mengalami proses pemanasan. Jadi madu-madu yang berada dikedai-kedai atau pasar-pasaraya hendaklah dielakkan kerana kebiasaannya madu ini melalui proses pemanasan supaya mengalami kecairan dan mudah untuk dipakej. Begitu juga, cuka epal hendaklah yang tidak ditapis dan dipanaskan. Jika sukar untuk mendapatinya boleh juga diambil madu dan cuka epal yang biasa dijual dikedai-kedai tetapi pastikan halal dan baik serta berkualiti.

Persiapan ramuan terdiri daripada madu, bawang putih, cuka epal dan halia.

Ramuan.

1) Lapan ulas bawang putih segar
2) 1 cawan (200ml) cuka epal tidak ditapis dan tidak dipanaskan.
3) 1 cawan (200ml) madu mentah dan tidak dipanaskan.

Arahan

Campurkan semua bahan ke dalam pengisar dan kisarkan pada tahap kelajuan tinggi selama 45-60 saat. Anda juga boleh melakukan dengan meletakkan bawang putih terlebih dahulu, kisar sehingga halus kemudian campurkannya dengan madu dan cuka epal kemudian kisarkan sekali lagi bersama selama 10-15 saat.

Kemudian tuangkan ke dalam jag atau bekas kedap dan tinggalkan dalam peti sejuk untuk selama 5 hari. Dalam tempoh tersebut hendaklah setiap hari ramuan itu dikacau. Selepas 5 hari, ramuan ini siap untuk digunakan.

Cara Menggunakannya

Dua sudu kecil dicampurkan ke dalam satu gelas air, setiap hari, minum diawal pagi. Campuran ini terlalu kuat dan tidak boleh diambil secara terus tanpa dicampurkan dengan air.

Insyallah semoga bermanafaat untuk kita semua. Ramuan ini saya dapati daripada laman Healthymuslim.com.

Sumber:Healthymuslim.com:Garlic, Honey and Apple Cider Vinegar

Sekian sahaja. Wallahualam. Wassalamualaikum wbt.

.

No comments:

Post a Comment

Pandangan Anda ?

Senarai Teratas