Belajar Bahasa Arab: Sukar atau Mudah ?

Assalamualaikum warahmatullah;

Mudah atau susah nak mempelajari Bahasa Arab ? Persoalan ini adakalanya menghantui diri saya, manakan tidak ? Terngiang-ngiang di corong telinga saya gemaan dakwaan sesetengah guru-guru Bahasa Arab mempelajari Bahasa Arab sebenarnya mudah.Malah ada yang mendakwa cara-cara pembelajaran sekian-sekian mudah dipraktikkan tanpa menghafal kata-kata Arab, pola-polanya, serta tak perlu mengingat beberapa bentuk jadual kata-kata ganti nama, penjodoh bilangan, kiraan nombor dan sebagainya.

Benarkah sedemikian mudahnya ? atau bagaimana ? Kadang-kadang terfikir juga, mungkinkah kesemua dakwaan ini sekadar melariskan atau menarik perhatian mereka yang hendak belajar bahasa Arab secara cepat dan mudah. Atau mungkin memang benar guru-guru Bahasa Arab ini memiliki kaedahnya tersendiri dalam menyediakan kaedah pembelajaran yang lebih efektif ?

Jika dulu, saya yang pernah menjadi pelajar sekolah Arab terpaksa menghafal dan mengingat setiap bentuk atau pola-pola bagi kata-kata kerja, kata-kata nama, dan setiap kaedahnya masih belum juga mahir untuk menggunakan Bahasa Arab walaupun belajar hampir 9 tahun.Inikan pula tanpa menghafal dan mengingat kesemuanya itu.

Untuk berlaku adil dalam menilai, saya membuat kesimpulan bahawa mempelajari Bahasa Arab ataupun mana-mana bahasa dunia sekalipun sebenarnya tidaklah mudah dan tidaklah sukar, boleh menjadi mudah dan juga boleh menjadi sukar. Semuanya bergantung atas tujuan atau niat untuk apa kita belajar, bergantung atas matlamat apa yang hendak dicapai dalam mempelajari Bahasa Arab. Mereka yang mempelajari atau mengambil kelas Bahasa Arab sebenarnya mempunyai pelbagai maksud dan tujuan, antaranya:


1) Dapat mengerti makna lafaz Arab dalam ayat-ayat Al-Quran atau teks Arab.

2) Dapat memahami percakapan orang Arab seterusnya berkomunikasi dengan mereka walaupun tidak fasih.

3) Dapat membaca buku-buku Arab, majalah-majalah, dan membaca laman-laman web Arab.

4) Membaca kitab-kitab Arab, sastera Arab, kitab-kitab Islam berbahasa Arab

5) Menguasai Al-Quran dan Al-Hadis.

Ini antara yang sempat saya fikirkan, dan setiap satu daripada maksud dan tujuan di atas sebenarnya menunjukkan level atau tahap yang perlu ditempuhi oleh mereka yang hendak mempelajarinya selari dengan kehendak masing-masing.

Bahasa Arab menjadi mudah sekiranya tujuan dan matlamatnya adalah nombor 1 dan 2. Untuk mengetahui makna perkataan Arab amatlah mudah seumpama kita membiasakan diri dengan perkataannya setiap hari. Bahasa Arab menjadi tidak sukar dan tidaklah mudah sekiranya tujuan dan matlamatnya adalah nombor 3. Bahasa komunikasi atau pertuturan bangsa Arab ada lahjahnya atau loghat yang sukar hendak kita fahami bagaimanapun mudah jika kita sentiasa dengar perbualan mereka. Bahasa Arab menjadi sukar sekiranya tujuan dan matlamatnya pada nombor 4 dan 5. Inilah matlamat pembelajaran Bahasa Arab di sekolah-sekolah agama @ arab kerana ilmu-ilmu Islam itu banyak didapati daripada sumber Al-Quran dan Al-Hadis, seterusnya keterangan-keterangannya terdapat dalam kitab-kitab turath yang strukutur bahasanya agak rumit dan begitu klasik dan bersastera. Kita perlu tahu nahu dan saraf, ilmu balaghah, ilmu bayan dan sebagainya yang berkaitan. Itupun belum tentu dapat menguasainya jika malas menghafal dan meningati kaedahnya kerana dalam Al-Qur'an terdapat perkataan-perkataan atau ayat-ayat yang gharib atau ganjil hinggakan kekadang nahunya juga, jika tidak difahami boleh membuatkan pelajar salah menafsir dan lari dari maksudnya.

Jadi maksud dakwaan atau kenyataan oleh guru-guru (menurut pandangan saya) bahawa mempelajari bahasa Arab itu mudah adalah ditujukan kepada orang-orang awam yang hendak belajar sekadar mengerti serba sedikit ungkapan Arab dan bentuk-bentuk lafaz lazim ketika berkomunikasi. Tetapi ianya merupakan satu permulaan yang baik dan menjadi langkah pertama dalam menguasai Bahasa Arab. Seterusnya sebagai jambatan untuk mereka memahami Islam dengan lebih baik melalui sumber-sumber primernya kemudian beramal dengan yakin.Insyallah !

Apapun sebenarnya sukar atau mudah kesemuanya terletak atas azam dan kemahuan tinggi dalam diri kita. Ya....Allahlah tempat kita sandarkan kekuatan azam kita itu. Kekadang sesuatu yang mudah menjadi sukar dan sesuatu yang sukar menjadi mudah jika Allah Ta'ala berkehendak begitu. Wallahualam.

Comments

Popular posts from this blog

Tasrif (تصريف): Pengenalan

Tanda Al-Ismu:"ا ل" dan التنوين

Mengenal Kata Nama الأسم