Kenali Ulama: Ibnu Hajar al-Asqalani

Kitab "Bulughul Maram min Adillatil Ahkam" atau ringkasnya yang biasa kita sebut kitab "Bulughul Maram" adalah kitab hukum-hakam bersumberkan hadis-hadis Nabi shallallahu'alaihiwasallam. Pengarang kitab ini adalah seorang ulama yang tiada tolok banding ketokohannya dalam pelbagai bidang ilmu di zamannya, ketokohannya tetap terserlah hinggalah ke hari ini. Beliau ialah;

Syaikhul Islam al-Imam al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullahuta'ala.

Siapakah Ibnu Hajar al-Asqalani rhm ?


Nama sebenar beliau ialah Ahmad bin 'Ali bin Muhammad bin Muhammad bin 'Ali bin Mahmud bin Ahmad bin Hajar al-Kinani al-Asqalani as-Syafi'e al-Misri.

Al-Kinani  membawa maksud keturunannya dinisbat kepada qabilah Arab Kinanah, al-Asqalani pula nisbat asal qabilahnya dari daerah Asqalan, di Palestin. Nisbah as-Syafi'e pula bermaksud mazhab yang menjadi kaedah dalam fiqhnya, sementara al-Misri adalah negeri kelahirannya di Mesir.

Lebih popular dengan nama yang dinasab kepada moyangnya "Ibnu Hajar". Menurut muridnya Imam as-Sakhawi rahimahullah, "Ibnu Hajar" merupakan nama laqab yang dinasabkan kepada moyangnya Ahmad bin Hajar al-Kinani, dan inilah pendapat yang diterima pakai oleh para ulama. Ibnu Hajar rhm juga dikenali dengan nama khitab "Syihabuddin", iaitu ":bintang-bintang agama". Nama mesra atau kunyah beliau, Abul Fadhl.

Gelaran Al-Hafiz, diberikan oleh gurunya  al-'Iraqi rahimahullah, merupakan gelaran bagi tokoh hadis yang berupaya mensahihkan sanad dan matan hadis, menta'dilkan dan menjarh perawi, mengetahui kecacatan hadis dan istilah-istilah para muhaddithin. Antara syarat gelaran ini juga ialah menghafal lebih dari seratus ribu hadis, sanad dan matannya, menguasai segala ilmu hadis samada dirayah dan riwayahnya. Bahkan beliau juga mendapat kedudukan yang mulia dan tinggi dalam hadis, hingga dijuluki dengan Amirul Mukminin fil Hadis.

Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani rhm, dilahirkan di Mesir pada tahun 773 Hijrah di bulan Sya'ban. Ibunya meninggal dunia ketika beliau masih bayi. Ketika usianya 4 tahun, bapanya Nuruddin 'Ali  meninggal dunia dan mewasiatkan penjagaan kepada abang sebelah isteri pertama ayahnya Zakiyuddin Abi Bakr bin Nuruddin Ali al-Kharrubi seorang pedagang besar dan kaya di Mesir.

Zakiyuddin al-Kharrubi amat mengambil berat tentang kehidupan Ibn Hajar, dan menemaninya ke Mekah membantu pengajiannya di sana. Di Mekah, Ibnu Hajar mendengar pengajian Sahih Bukhari disampaikan oleh ulama ahli hadits ketika itu  Syaikhul Hadis 'Afifuddin Abdullah bin Muhammad an-Nasyawari rahimahullah. Beliau menghafaz keseluruhan al-Quran ketika umur 9 tahun dan menyibukkan diri dengan ilmu-ilmu syariat dengan menghafaz kitab Umdatul Ahkam karya al-Maqdisi, al-Hawi as-Shoghir karya al-Qazwini, Minhaj al-Ushul  karya al-Baidhowi, Alfiah al-Iraqi, Alfiah Ibn Malik, dan At-Tanbih fi Furu' as-Syaafi'iyyah karya al-Syairazi.

Beliau dikurniakan Allah Ta'ala kelebihan seorang yang cepat hafalannya, cepat memahami ilmu dan permasalahannya. Disamping minat dan kesungguhan beliau dalam menuntut ilmu menjadikan beliau seorang ulama yang ahli dalam pelbagai bidang ilmu dan menguasainya sebagai seorang sasterawan, ahli bahasa, ahli sejarah, ahli tafsir, ahli qira'at, ahli hadis dan ahli fiqh. Ibnu Hajar rhm berguru dengan ramai syaikh dalam pelbagai bidang ilmu.

Sesungguhnya Ibnu Hajar rhm memberi perhatian untuk mempelajari bahasa dan sastera. Antara gurunya dalam ilmu bahasa ialah Abu at-Thahir al-FairuzAbadi rahimahullah pengarang Qamus al-Muhith,

Perhatian al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani rhm terhadap al-hadis Rasulullah shallallahu'alaihiwasallam amat mendalam sehingga beliau mewakafkan seluruh hidupnya dalam mempelajarinya dan mengadakan pengembaraan dalam menuntutnya. Dikatakan beliau ada mendengar banyak hadis sebelumnya dan tidaklah diperolehinya dengan menuntut dan menghadiri kuliyah melainkan pada 792 Hijrah beliau banyak mengadakan pengembaraan menuntut hadis dan fiqh. Dalam tahun 793 Hijrah, beliau mengembara di sekitar bandar-bandar besar seperti di Hu, beliau berjumpa dengan antaranya Nuruddin 'Ali  bin Muhammad Qadhi dan di Qus berjumpa dengan Ibnu as-Siraj dan jamaah ahli sastera tetapi beliau tiada mendapati apa yang dikehendakinya. Pada tahun 797 Hijrah beliau ke Iskandariah dan bersama dalam majlis al-Allamah Shamsudin ibn al-Jazari rahimahullah.

Kemudian pada tahun 799 Hijrah mengembara ke bumi Hijaz, dari sana beliau mengembara ke Yaman pada tahun 800 Hijrah dan bertemu ramai para huffaz dan ulama. Pada tahun 802 Hijrah beliau mengembara ke Syam dan bertalaqqi dengan sebilangan besar ulama dan para huffaz dan menetap di Dimasyq selama  100 hari mendengar dari mereka seribu dari bahagian hadis, seperti kitab besar Mu'jam al-Awshat at-Tabarani, al-Ma'rifatu as-Sahabah Ibnu Mandah dan paling banyak Musnad Abi Ya'la al-Maushili dan selainnya.

Kemudian al-Hafiz kembali ke Kaherah pada tahun 803 Hijrah dan pada tahun 805 Hijrah al-Hafiz mengembara sekali lagi ke sana setelah menunaikan haji di Mekah bertemu dengan sebahagian daripada mereka sekali lagi dan juga selain mereka dan mengambil ilmu dan faedah daripada mereka. Pada tahun 807 Hijrah dari Yaman ke Jeddah dan belajar daripada ulama mereka dan membaca kepada mereka. Kemudian kembali ke Mesir menyempurnakan apa yang tertinggal daripada majlis mendengarnya. Pada tahun 824 Hijrah, Ibnu Hajar akhirnya melaksnakan hajatnya mendirikan Madrasah al-Afdhaliyyah di Mekah. Bertemu di Mekah dan Madinah keseluruhan para ulama dan pemegang-pemegang sanad diambil kelebihan daripada mereka sebagaimana mereka mengambil darinya dengan banyak.

Ketika al-Hafiz Ibnu Hajar tiba di Syam telah diadakan Majlis Imla' di Masjid Bani Umayyah yang dihadiri ramai qadhi-qadhi, masyaikh, para huffaz, para terhormat dan penuntut ilmu. Ibnu Hajar mengambil kesempatan berjumpa ulama Halab (Aleppo) dan belajar dari mereka. Beliau bermalam di Halab dan menziarahi para pencinta hadis di kampung-kampung persekitarannya dan mendengarnya daripada mereka.

Jika dihayati kesungguhan Ibnu Hajar rhm dalam mengejar ilmu nescaya didapati kesungguhannya tiada taranya walaupun terpaksa menghadapi pelbagai rintangan dan kesukaran mendapatkanya. Ibnu Hajar rhm telah merentasi beberapa negara menuntut ilmu hadis, fiqh dan ulumuddin. Sentiasa menghadhirkan diri dimajlis-majlis ilmu, bersafar sepanjang masa tanpa mengendahkan kesukarannya, menulis dan menelaah ilmu  dan tidak meninggalkan salat malam bersama kegigihannya menuntut ilmu.

Dikatakan sebanyak 600 gurunya dari pelbagai bidang atau lebih yang tidak mungkin boleh disebutkan kesemuanya di sini.

Antara guru-gurunya dalam ilmu qira'at ialah Syiekh Ibrahim bin Ahmad at-Tanukhi dan Imam Ibnul Jazari rahimahumullah.

Gurunya dalam ilmu hadis ialah Syeikh Abdullah bin Muhammad bin Sulaiman An-Naisaburi, al-Hafiz al-Kabir Zainuddin Abdul Rahim bin Al-Husain bin Abdul Rahman al-Iraqi dan al-Hafiz Ali bin Abi Bakr bin Sulaiman Abu Hasan al-Haitsami.

Dalam ilmu fiqh pula ialah As-Syeikh Ibrahim bin Musa bin Ayyub Burhanuddin al-Abnasi, Syeikh Umar bin Ali bin Ahmad bin al-Mulqan, al-Allamah Umar bin Raslaan bin Nasir bin Salih al-Bulqini dan Syeikh Muhammad bin Ali bin Abdullah al-Qattan.

Dalam ilmu nahu Arab, As-Syeikh Muhammad  al-Ghumari,  Syeikh Muhammad al-Dimasyqi,, yang masyhur al-Allamah Muhammad bin Ya'akob bin Muhammad bin Ibrahim bin Umar as-Syairazi dan Abu Tahir Fairuzabadi rahimahumullah.

Ilmu-ilmu lainya, al-Allamah Izzuddin Muhammad bin Abi Bakr bin Abdul Aziz al-Hamawi.

Al-Hafiz Ibnu Hajar mempunyai ramai murid-muridnya seperti Imam as-Sakhawi yang banyak menerima faedah daripadanya, Ibrahim bin Umar bin Hasan al-Buqa'i, Zakaria bin Muhammad bin Ahmad bin Zakaria al-Ansari, Ismail bin Muhammad bin Abi Bakr bin al-Muqra'i al-Yamani, dan lain-lainya.

Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah bermazhab Ahli Sunnah wal Jamaah, walaupun dilihat kecenderungannya kepada aqidah Al-Asya'irah dalam sebahagian sifat-sifat namun beliau rhm bukanlah al-Asya'irah yang tulin. Hanya sebahagian sifat-sifat yang diberi penakwilan dan selebihnya beliau rhm mengikuti ahli sunnah.

Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahulla juga banyak menulis kitab-kitab yang menjadi rujukan utama hingga ke hari ini dan yang paling masyhur ialah Fathul Bari bi Syarhi Sahih al-Bukhari yang mengambil masa 25 tahun. Penulisan syarah bagi Sahih al-Bukhari ini dimulai pada tahun 817 Hijrah dan selesai pada tahun 842 Hijrah. Lain-lain penulisan yang juga penting seperti Nukhbatul Fikri fi Mushtolahi Ahli al-Athar, An-Nukat 'ala Ibni al-Solah, Taghliqu al-Ta'liq, al-Wuqufu 'ala ma fi Sahih Muslim minal Mauquf, al-Qaulu al-Musaddad fi al-Dzibbi 'an Musnad Ahmad, al-Talkhis al-Khabir fi Takhrij Ahadith al-Raafi'e al-Kabiir, al-Duriah fi Talkhis Ahadith al-Hidayah, al-Kafi al-Syaafi fi Takhrij Ahadith al-Kashaf, Lisanul Mizan, Tahzib at-Tahzib, Taqrib at-Tahzib, Bulughul Maram min Adillatil Ahkam dan lain-lain.

Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah wafat pada bulan Zulhijjah pada tahun 852 Hijrah, jenazahnya penuh sesak dengan manusia yang mensolati jenazahnya. Dihadiri ramai para umara' dan syaikh-syaikh, ketua-ketua kerajaan mengusung jenazahnya. Beliau rahimahullah dikebumikan di Mesir berdekatan dengan kubur al-Imam as-Syafi'e rahimahullahuta'ala.

Comments

Popular posts from this blog

Tasrif (تصريف): Pengenalan

Tanda Al-Ismu:"ا ل" dan التنوين

Mengenal Kata Nama الأسم