Mengenal Kata Nama الأسم

Sebagaimana perbincangan lepas dalam post Bahasa Arab: Pembahagian Kata, saya ada memberi maksud 'al-ismu' atau kata nama. Pada bab kali ini, saya cuba bincangkan dengan lebih terperinci tentang Kata Nama  الأسم.


Mengenal al-Ismu


Bagaimana kita hendak mengenal al-Ismu atau Kata Nama ?

Umumnya istilah bagi al-ismu ialah kata yang menunjukkan makna pada diri kata itu sendiri yang tidak diikat dengan masa. Contoh;الشَّجَرَةُ, ertinya dalam Bahasa Melayu ialah "pokok", kata ini menunjukkan makna diri "pokok" itu sendiri dan makna kata ini tidak tertakluk dengan masa seperti "pokok" sekarang, "pokok" lepas atau "pokok" akan datang.


Perkara asas yang perlu diketahui dalam mengenal kalimat al-Ismu dalam sesebuah ayat bahasa arab ialah tanda-tandanya. Memandangkan Bahasa Arab bukanlah merupakan bahasanya bangsa Melayu seperti kita, maka perkara pertama bagi kita jika ingin mengenal sesuatu kalimat itu kata nama atau sebaliknya ialah merujuk kamus Arab-Melayu. Ya, benar sekali merujuk kamus adalah perkara paling pokok sekali dalam hal ini dan cara yang mudah untuk mengenal golongan sesuatu perkataan samada al-ismu. Mudah sekali, cuba lihat contoh ayat al-Qur'an ini;

بسم الله الرحمان الرحيم

Kenalkah kita mana satu al-Ismu atau Kata Nama dalam ayat di atas ? Cuba lihat atau rujuk kamus untuk setiap perkataan. "الله" ialah Allah, maka jelas perkataan ini ialah kata nama. "الرحمان" ialah Pengasih, maka jelas juga lafaz ini juga kata nama,  "الرحيم" ialah Penyayang, juga adalah kata nama. Mudahkan, apabila merujuk kamus.

Namun, bagaimana dengan "بسم" ? Sila rujuk kamus, pasti kita tidak akan menemukan kalimat ini, jika ada pun yang hampir menyerupainya ialah "بَسَمَ"  dengan ب baris atas, س berbaris atas dan م berbaris atas. Berbeza dengan   kalimat yang hendak dicari di atas dengan ب berbaris bawah, س berbaris mati dan م berbaris bawah. Peringatan, perubahan baris atau sebutan dalam Bahasa Arab membawa makna yang berlainan serta menyebabkan kekeliruan dalam menentukan golongan kata samada kata nama atau kata kerja.

Jadi mengenal samada kata nama atau kerja dengan merujuk terus didalam kamus boleh membantu dalam proses pembelajaran dan amat digalakkan. Ianya mampu membantu sebanyak 80% dalam pembelajaran bahasa. 20% berbaki ialah terletak pada kaedah-kaedah yang ditetapkan oleh para ulama nahu.

Berikut adalah tanda-tanda yang terdapat pada al-ismu seperti yang telah disusun oleh para ulama nahu dalam mengenal al-Ismu atau Kata Nama.

Pertamanya, al-Ismu boleh dikenali menerusi tanda-tanda yang didapati pada kalimat itu sendiri:

  1. Awal perkataan adanya  "ا ل" - aliff dan lam -
  2. Sekiranya tiada "ا ل", kalimat al-ismu berakhir dengan tanwin di akhir hurufnya iaitu tanda baris dua samada depan, atas atau bawah. Tanda ini wujud secara berasingan pada satu-satu kalimat. "ال" pada pangkal atau permulaan kalimat, jika tiada "ال" maka ia akan digantikan dengan tanwin di akhir hurufnya.
  3. Akhirnya berbaris bawah
  4. Sebelumnya dimasuki huruf-huruf yang menyebabkanya berbaris bawah.
  5. Sebelum  perkataan itu ada perkataan seruan seperti "Yaa" , arabnya, "يا" ini adalah tanda seruan atau disebut arab dengan an-Nida' - النداء -
  6. Melihat pada susunan artau rantaian antara kalimat dengan kalimat lain.


Kesemua tanda-tanda ini akan kita bincangkan nanti supaya tanda-tanda ini lebih jelas pada kita serta kita tahu bagaimana hendak menggunakan tanda-tanda ini secara praktikal dalam mengenal al-Ismu atau Kata Nama.

Insyaa' Allah, saya akan bincangkan dalam post akan datang. Setakat ini, cuba kita praktikkan dahulu dengan penggunaan kamus Arab-Melayu kerana hal ini sangat membantu disamping mengenali kaedah di atas secara umum. Cuma saya hendak katakan di sini, anatar tanda-tanda yang disebutkan di atas, tanda bermula dari nombor 1-3 sudah cukup menampung keperluan kita dalam mengenali al-ismu dalam ayat-ayat al-Qur'an. Selebihnya memerlukan penjelasan lanjut dan kefahaman yang baik tentangnya.

Sekian, semoga Allah Ta'ala mempermudahkan urusan kita dalam memahami ayat-ayat-Nya.


Comments

Popular posts from this blog

Tasrif (تصريف): Pengenalan

Tanda Al-Ismu:"ا ل" dan التنوين