Tanda al-Ismu: Huruf al-Nida (Kata Seru)

Alhamdulillah. Setakat ini saya telah menyentuh tiga tanda mengenal al-ismu daripada lima tanda-tanda al-ismu, iaitu:


  1. Tanda "ال التعريف"
  2. Tanda "التنوين"
  3. Tanda "المجرور"
Kini tiba untuk tanda seterusnya, tanda yang ke empat an-Nidaa'. ejaan Arabnya النِّداء, terjemahan bahasa ialah seruan atau panggilan.

An-Nidaa' ialah mengarahkan panggilan kepada lawan bicara agar memberi perhatian dan mendengar ucapan yang ingin disampaikan oleh pembicara. Ianya adalah kalimat panggilan dengan huruf-huruf berbentuk seruan samada secara zahir atau secara anggapan sahaja.

Harf an-Nidaa, ejaan Arabnya حرف النِّداء ialah huruf-huruf berbentuk seruan mewakili perbuatan memanggil. Maksudnya asal perbuatan memanggil itu dengan kalimat "Aku memanggil kamu....." kemudian bagi memudahkan penggunaanya maka digantikan dengan huruf-huruf seruan seperti "Wahai kamu......". Wahai, Hai...dan seumpamanya adalah huruf panggilan. Dalam bahasa Arab, huruf-huruf ini adakalanya dizahirkan dalam ayat dan adakalanya huruf ini hadir secara anggapan sahaja.

Huruf an-Nidaa' ada lapan iaitu أ, آ,أي, أيا,آي, هيا, وآ,  يا  ke semuanya membawa makna panggilan "wahai.." tetapi mempunyai maksud atau tujuan yang berbeza antara satu sama lain. Bagi أ dengan harakat pendek adalah panggilan untuk yang hampir, آ dengan harakat   panjang adalah panggilan untuk yang jauh, أي panggilan untuk yang hampir dengan nada menaik, أيا panggilan untuk yang jauh berserta leka, آي panggilan mengajak individu yang jauh, هيا panggilan mengajak umum yang jauh, وآ seruan kerana kagum dan sedih,يا penggunaan pada setiap keadaan. 

An-Nidaa' dan al-Munaada

Setiap yang memanggil, ada yang dipanggil. Huruf an-Nidaa', ada al-Munaada.Di sini dapat kita ketahui tanda-tanda bagi al-ismu ialah adanya huruf an-Nidaa sebelumnya dan al-ismu itu mendapat gelar barunya al-ismu al-Munaada ejaan Arabnya الإسم المنادى, ertinya yang dipanggil.

Kali ini al-ismu ini berada dalam keadaan baris atas. Sebelum ini kita mengenali al-majrur pada entri Tanda Al-Ismu: Baris Bawahdalam entri ini saya perkenalkan al-manshub, ejaan Arabnya المَنْصُوب. An-Nidaa' adalah termasuk huruf yang membaris ataskan al-ismu selepasnya dan tanda baris atas itu umumnya adalah fathah.

Dalam perbincangan Tanda Al-Ismu: Baris Bawah , saya mengatakan bahawa setiap kalimat yang kalimatnya berakhir dengan baris bawah pastinya al-ismu. Namun, dalam bab an-Nidaa' ternyata al-Ismu tidak berbaris bawah.

Penjelasan saya, pertama harus difahami semua baris bawah pastinya al-ismu itu adalah benar, namun bukan semua al-ismu itu berbaris bawah. Kedua, baris bawah adalah sebahagian daripada tanda-tanda al-ismu. Ketiga, baris atas atau tanda fathah boleh berada diakhir huruf kalimat al-ismu dan juga kata kerja al-fi'lu dan juga kata tugas al-harfu jadi kita tidak boleh menyatakan secara mutlak bahawa tanda mengenali al-ismu adalah baris atas atau fathah kerana kita mungkin akan terkeliru antara al-ismu, al-fi'lu dan al-harfu. Semua golongan kata boleh menerima baris atas. Jadi tanda yang ke empat ini dibezakan dengan adanya huruf an-Nidaa secara spesifik.

Comments

Popular posts from this blog

Tasrif (تصريف): Pengenalan

Mengenal Kata Nama الأسم

Tanda Al-Ismu:"ا ل" dan التنوين