Puasa Di Bulan Ramadhan
Sesungguhnya segala pujian hanyalah milik Allah Ta'ala, yang aku sanjungi-Nya, tempat aku meminta pertolongan dan mengharap pengampunan-Nya, aku memohon perlindungan Allah dari keburukan diri aku dan kejelekan amalanku. Barangsiapa yang diberi petunjuk oleh Allah tiada siapa yang dapat mneysatkannya dan barangsiapa yang disesatkan oleh Allah tiada siapa yang dapat memberinya pertunjuk.Aku bersaksi bahwa tiada sesembahan yang hak untuk disembah melainkan Allah yang tidak ada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahwa Muhammad itu adalah hamba dan utusan-Nya. Amma Ba’du :
Hari ini 11 Sya’ban 1429 Hijrah, lagi 19 hari (menurut kaedah hisab) akan tiba bulan Ramadhan, bulan dimana seluruh umat Islam didunia akan mula berpuasa bagi menunaikan salah satu kewajiban dalam Islam. Puasa di bulan Ramadhan adalah salah satu dari rukun Islam yang 5, sebagaimana hadis dari Ibnu Umar ra beliau berkata telah bersabda Rasulullah SAW :
بُنِيَ الاسلام على خمسٍ شَهَادة أن لااله الا الله وان محمدا رسولالله واقام الصلاة و اءيتاء الزكاة وحج البيت وصوم رمضان – Sahih Bukhari
“Islam dibina atas lima perkara; bersaksi bahawa tiada sesembahan melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu Pesuruh Allah, dan mendirikan solat dan memberi zakat dan haji di baitullah dan berpuasa Ramadhan”
Bahasa Arab “صام “, dalam Kamus Idris al-Marbawi Arab – Melayu memberi maksud menahan diri dari makan atau tidak makan. Pada istilah syara’ bererti, menahan diri dari makan, minum dan melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa dari terbitnya fajar hingga terbenamnya matahari. Maka tidak dikatakan berpuasa apabila seseorang itu makan,minum dan melakukan perkara yang membatalkan puasa di siang hari.
Ramadhan al-Mubarak adalah bulan ke 9 dalam Islam mengikut perkiraan tahun qamariah. Umat Islam diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadhan sebagaimana perintah Allah Ta’ala dalam surah al-Baqarah:183-185;
*يأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ * أَيَّامًا مَّعْدُودَتٍ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ فَمَن تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَّهُ وَأَن تَصُومُواْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ * شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِى أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـتٍ مِّنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلاَ يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُواْ الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُواْ اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ *
“Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kamu puasa sebagaimana ditetapkan ke atas orang-orang yang sebelum kamu agar kamu bertaqwa. Iaitu pada hari-hari yang diperkirakan maka barangsiapa di antara kamu mengalami sakit atau dalam perjalanan hendaklah digantikan hari-hari yang lainnya dan fidyah bagi orang-orang yang tidak mampu ialah memberi makan seorang miskin adapun mereka yang suka kepada kebaikan maka itu lebih baik baginya dan bahawasanya sesiapa yang berpuasa adalah baik bagi mereka jika kamu berilmu. Bulan Ramadhan yang diturunkan padanya Al-Qur’an sebagai petunjuk bagi manusia dan sebagai penjelas-penjelas dari petunjuk itu dan sebagai pembeza maka sesiapa yang telah menyaksikan bulan tersebut diantara kamu hendaklah dia berpuasa dan sesiapa yang dalam keadaan sakit ataupun berada dalam perjalanan maka gantikanlahnya dari hari-hari yang lain, Allah menghendaki bagi kamu kesenangan dan tiada Dia menghendaki bagi kamu kesukaran dan hendaklah kamu menyempurnakan bilangan tersebut dan hendaklah kamu membesarkan Allah di atas apa yang ditunjuki kamu dan mudahan kamu berterima kasih”
Ayat di atas mencakupi segala perkara tentang puasa di bulan Ramadhan dan hukumnya. Di ruang masa dan tempat yang terhad ini saya bawakan beberapa perkara yang berkaitan dengan puasa Ramadhan serta serba sedikit hukum berpuasa, sebagai pengenalan mudahan kita mengetahui.
1) Kemuliaan yang terdapat bulan Ramadhan kerana dibulan itulah al-Quran diturunkan dari Lauh Mahfuz ke baitul ‘izzah di langit pertama iaitu pada suatu malam diberi nama “lailatul qadr”. Kemuliaan bulan ini, dijadikan sebagai bulan puasa bagi umat Islam, maka apabila menyaksikan adanya hilal atau anak bulan Ramadhan maka diperintahkan berpuasa keesokan harinya. Rasulullah SAW telah bersabda dalam sebuah hadis yang telah disepakati oleh Imam Bukhari rhm, Imam Muslim rhm dan Imam Ahmad rhm bermaksud:
“Berpuasalah kerana melihatnya (hilal) dan berbukalah kerana melihatnya. Apabila kamu terhalang maka sempurnakanlah bilangan bulan Sya’ban sebanyak 30 hari”
2) Puasa itu hukumnya wajib ke atas setiap muslim semoga mereka lebih bertakwa. Imam Ibnu Katsir dalam tafsirnya Tafsir Fi Quranil ‘Adhim, mengulas ayat 183: bahawa Allah Ta’ala memerintahkan berpuasa kepada umat Islam sebagaimana yang Dia perintahkan kepada orang yang sebelum mereka, mereka itu menjadi contoh kepada mereka dalam hal ini supaya mereka berlumba-lumba menjalankan kewajipan ini dengan penuh taat lebih daripada mereka yang terdahulu.
3) Puasa yang diwajibkan itu adalah menurut hari-hari tertentu yang ditetapkan oleh syara’ bermula dari awal hingga akhir Ramadhan.
3) Puasa boleh diganti atau di qadha pada hari-hari lain selain dalam bulan Ramadhan jika mempunyai keuzuran yang ditetapkan syara’ antaranya:
i) Jatuh sakit
ii) Pengembara atau Musafir yang tidak menetap di suatu tempat.
4) Kelonggaran dalam puasa Ramadhan kepada mereka yang tidak mampu melaksanakannya disebabkan tua atau tiada upaya, tetapi dikenakan fidyah sebagai ganti memberi makan minima seorang miskin mengikut hari yang ditinggalkan jika lebih dari seorang maka itu adalah lebih baik dalam melakukan kebajikan sebagai ganti puasa Ramadhan.
5) Keutamaan berpuasa dapat dirasai jika kita berilmu walaupun terdapat beberapa kelonggaran kita akan dapati bahawa berpuasa itu adalah lebih baik bagi kita.
7) Setelah sempurnanya bilangan hari pada bulan Ramadhan samada mengikut ru’yah atau hisab 30 hari maka hendaklah umat Islam membesarkan Allah dengan syiar merayakan Hari I’dul Fitri, mudahan menjadi orang yang bersyukur.
Itulah serba sedikit berkaitan dengan puasa di bulan Ramadhan, insyallah artikel seterusnya akan membincangkan tentang keutamaan puasa dan juga adab-adab serta sunnah-sunnah dalam puasa.
Wassalam
Comments
Post a Comment
Pandangan Anda ?