Dengarkan "Ghuraba"
Berhibur tiada salahnya oleh itu, dengarkan "Ghuraba" nyanyian Syeikh Sa'id Al-Ghamidi.Ini adalah video pertama yang saya hasilkan, sebarang komen dialukan:
Macam mana ? Maksud saya, siapakah "ghuraba" yang sebenarnya ? Pastinya bukan pelancong asing, sesiapa sahaja boleh menjadi orang asing, mengasingkan diri, diasingkan atau terasing. Pengasingan boleh memiliki banyak sebab, menjadi asing kerana benar atau diasingkan kerana salah.
Siapakah Ghuraba ? Untuk mengenalinya marilah kita lihat kepada hadis yang disandarkan perkataan ini. Atas kelemahan diri, hadis ini ada diriwayatkan dalam Sahih Musim, dan materi hadis:
عن أبي هريرة؛ قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم:
"بدأ الإسلام غريبا وسيعود كما بدأ غريبا. فطوبى للغرباء".
"Daripada Abi Hurairah ra, beliau telah berkata: Telah bersabda Rasulullah saw:
Permulaan Islam itu dalam keadaan asing, dan akan kembali sebagaimana permulaannya dalam keadaan asing jua. Maka berbahagialah bagi orang-orang asing” (Sahih Muslim)
Dari segi lughahnya, "gharib" adalah kata nama sifat musyabbahah iaitu sesuatu perbuatan yang disifatkan dengannya pelaku tersebut. Asal dari kata kerja, "gharaba" maksudnya tenggelam. Jadi sifat tenggelam atau terbenam itu seperti terasing atau terjauhi dari apa yang datang setelahnya.(Minta para ustaz memperbetulkannya jika silap).
Menurut pandangan ulama dalam menafsirkan kalimat ini, sebagaimana dalam Syarah Sahih Muslim Imam Nawawi rhm;
Al-Qadhi Iyadh rhm berkata:” Ibnu Abi Uwais telah meriwayatkan daripada Imam Malik bahawa yang dimaksudkan dengan غريبا (dalam keadaan asing) adalah ketika dikota Madinah. Sesungguhnya Islam tersebar di kota Madinah dan kembali menjadi asing di kota Madinah. Sedangkan pengertian umum hadis adalah Islam itu permulaannya dianuti oleh sedikit orang kemudian barulah ia tersebar luas dan berjaya. Namun penganut Islam akan menjadi sedikit kembali sebagaimana permulaannya. Sedangkan perkataan غرباء (orang asing) adalah orang asing didalam sesuatu kabilah. Sementara menurut Al-Harawi, adalah orang-orang yang hijrah pergi meninggalkan negeri mereka kerana Allah Ta’ala.
Saya ambil pengertian umum sebagai syarah hadis di atas, dapat disimpulkan bahawa "ghuraba" adalah mereka yang tetap dalam keadaan Islam yang asal hinggalah ke akhirnya. Saya maksudkan Islam asal adalah Islam pada permulaannya, dalam generasi terawal dari kalangan muhajirin dan ansar. Sebagaimana yang Nabi saw sabdakan tiga generasi yang terbaik dari kalangan para salafussholeh. Walaupun bagaimana keadaan sekalipun yang mewarnai Islam itu sendiri, mereka adalah orang yang tetap berpegang kepada Al-Quran dan Sunnah Nabi, mereka tetap berada pada jalan yang ditunjuki Rasulullah saw, mereka akan menjauhi daripada sebarang penyimpangan yang masuk ke dalam Islam, mereka sanggup pergi meninggalkan dan berlari dari satu tempat ke satu tempat semata-mata menyelamatkan akidah dan memegang erat Al-Quran dan Sunnah.
Maka Rasulullah saw telah mendoakan, "Maka beruntunglah "ghuraba"..", kerana mereka mempunyai hati yang cekal dan tabah dalam mempertahankan kemurnian Islam dan tetap berada didalamnya, samada ketika Islam dianuti oleh ramai manusia atau ketika Islam mula dijauhi manusia. Itulah orang yang asing.
Boleh lagikah kita melihat orang asing sebegini ? kerana dikala Islam melata dan dipraktiskan ramai manusia, apakah kita melihat keterasingan ini ? inilah yang tengah saya fikirkan.....
Wallahualam
Comments
Post a Comment
Pandangan Anda ?