H1N1 dan Babi
Entri dalam fikrah kali ini adalah tentang virus H1N1 dan kaitannya dengan babi. Ini adalah pendapat saya semata-mata, mungkin terdapat beberapa siri kesalahan fakta kerana saya bukan seorang pakar perubatan, genetik atau taxonomi (maka minta diperbetulkan fakta menerusi komen dibawah). Namun demikian, saya juga berhak untuk tahu apa yang berlaku dan mengkajinya supaya faham kenapa ianya berlaku.
Jadi, mari kita lihat dan fikirkan kenapa virus yang menyerang seluruh dunia hari ini diberi nama swine flu atau selsema babi dan apa kaitannya dengan binatang bernama babi. Lihat gambar di bawah ini:
Proses Perpindahan Virus
Ini adalah gambarajah atau carta aliran bagaimana dikatakan ianya selsema babi. Istilah yang digunakan dalam proses perpindahan ini ialah Antigenic Shift. Sila klik pada gambar untuk membesarkannya.
Hakikatnya, nama H1N1 terlalu umum untuk dirujuk kepada virus yang baru ini kerana H1N1 adalah subtype Influenza A. Influenza A adalah sejenis virus bergenetik, ini bermaksud Influenza A boleh berubah struktur genetiknya kepada beberapa jenis. Struktur genetik yang berbeza ini diberi nama mengikut nisbah kandungan lapisan protien yang terdiri daripada dua unsur iaitu Hemagglutinin (H) dan Neuraminidase (N). Kemudian daripada Influenza A ini, H1N1 adalah salah satu daripada banyak strukturnya yang lain seperti H5N1, H3N2, H2N2 dan sebagainya. Oleh kerana ianya bersifat mutasi genetik, H1N1 juga boleh menerima perubahan struktur sehingga ianya dinamakan mengikut host atau punca hasilannya samada manusia, burung dan babi atau kombinasi ketiga-tiga sumber. Perubahan struktur genetik ini akan berterusan berlaku tidak akan berhenti dan akan sentiasa muncul virus baru pada masa akan datang. Inilah maksudnya virus bergenetik atau dalam saintifiknya RNA virus. Jika punca hasilan H1N1 ini daripada babi, ia dinamakan swine flu atau selsema babi. Namun demikian, oleh kerana strukturnya sentiasa berubah dan terlalu kompleks maka virus baru H1N1 yang berpunca daripada babi ini berbeza daripada pendahulunya yang pernah menyerang sekitar tahun 1918 yang dikenali sebagai Spanish Flu.
WHO menghadapi masalah dalam menentukan nama bagi virus baru ini, bagaimanapun kajian mendapati virus ini adalah dari jenis H1N1 yang dihasilkan oleh babi melalui mutasi genetik campuran antara virus manusia dan burung. Justeru itu, pada permulaan tersebarnya virus ini ia lebih dikenali dengan nama swine flu atau selsema babi. Akibatnya, masyarakat mula menjauhi babi dan tidak memakannya. Bagi mengelakkan hal ini berlaku satu nama yang tepat dan sesuai secara saintifik patut diberikan kepada virus ini, lalu keputusan mesyuarat WHO menetapkan nama baru bagi virus baru ini ialah H1N1/09 virus .
Apapun nama yang diberikan, virus baru ini adalah tetap berasal daripada babi walaupun strukturnya berbeza tetapi ia berasal daripada induk utamanya iaitu babi. Perbezaan struktur berbeza kerana sifat genetiknya yang bermutasi. Proses mutasi tersebut berlaku ditubuh babi apabila sel-sel biologi babi menerima virus-virus lainnya samada daripada burung atau manusia. Proses ini dinamakan "reassortment". Untuk melihatnya dengan lebih jelas sila lihat gambarajah dibawah bagaimana proses ini dilakukan untuk menghasilkan virus baru.
Proses Reassortment.
Jika "reassortment" adalah suatu proses yang boleh dibuat secara klinikal selain dari cara alami, maka kemungkinan virus baru ini adalah hasil daripada campurtangan manusia juga tidak boleh ditolak. Perkara sebegini tidak perlulah kita bincangkan sangat, kita ketepikan dan apa yang lebih penting babi adalah binatang terbaik sebagai medium untuk menyebarkan virus-virus penyakit yang membahayakan kehidupan manusia.
Dalam Islam, babi adalah tergolong daripada najis yang amat berat, iaitu mughallazah. Beratnya tingkatan najis pada babi ini rupanya mempunyai maksud yang tersendiri jika dikaitkan dengan permasalahan ancaman virus H1N1/09. Keharamannya bukan sahaja kerana memakannya, malah boleh diluaskan lagi skop keharaman itu sehinggakan menyentuhnya juga ditegah apatah lagi membelanya atau menternak babi. Inilah ijtihad Imam Syafi'e rahimahullah yang terkenal dengan sikap kehati-hatiannya dalam menangani persoalan hukum-hakam di dalam Islam. Inilah yang dijelaskan dalam kaedah fiqh, sebagai sesuatu yang haram maka haram keseluruhannya atau segala yang berkaitan dengannya adalah haram. Jadi samada memilih untuk tidak memakannya tapi hanya menyentuhnya, atau tidak menyentuhnya tapi hanya memakannya, dari mana-mana sudut sekalipun babi mampu menjejaskan kesihatan manusia.
Wallahualam
Wassalam.
Comments
Post a Comment
Pandangan Anda ?