Kesibukan Di Bulan Ramadhan
Bulan Ramadhan adalah bulan yang penuh barakah. Kedatangan bulan Ramadhan sayugianya disambut dengan penuh kegembiraan dan amalan-amalan kebaikan yang berbentuk pengabdian terhadap Allah ‘Azza wa Jal. Bulan yang memiliki keistimewaan yang dikhususkan oleh Allah Ta’ala kepada umat Islam. Sehinggakan Rasulullah shollallahu’alaihiwasallam bersabda kepada para sahabatnya ketika datangnya Ramadhan, yang bermaksud:
“Wahai manusia ! kamu telah dinaungi bulan yang agung penuh barakah”
Bulan dimana para sahabat dan salafussholeh menyibukkan diri dengan amalan-amalan soleh yang berupa amalan wajib maupun yang sunat seperti solat, sedekah, taat kepada amalan yang makruf serta menjauhi amalan mungkar. Siangnya dihidupkan dengan puasa yang wajib, malamnya dengan solat tarawih, qiyamullail serta setiap waktunya dipenuhi dengan zikir dan membaca Al-Quran.
Inilah kesibukan yang dituntut di bulan Ramadhan dan jauhilah daripada kesibukan-kesibukan yang tidak dituntut melaksanakannya didalam bulan mulia ini. Jauhilah serta berpalinglah dari mereka yang melupakan Allah Ta’ala sehingga Allah Ta’ala turut melupakan mereka. Mereka menjadikan bulan Ramadhan sebagaimana bulan-bulan yang lainnya, datangnya tidak disambut perginya tidak dihiraukan.
Kebanyakan orang Islam tidak menyedari maqashid atau tujuan-tujuan yang dikehendaki Islam dalam menyambut bulan Ramadhan. Apa yang mereka tahu bulan Ramadhan ialah bulan mengumpul pelbagai koleksi makanan dan minuman sehingga berlebihan dalam menggunakannya. Sedangkan tujuan berpuasa adalah melunturkan nafsu dan bersederhana dalam hal makanan dan minuman. Banyak makan menyebabkan kemalasan terutamanya dalam mentaati Allah Ta’ala.
Siangnya disibuki dengan tidur dan malamnya dengan sembang yang tidak bermanafaat dikedai-kedai minum, restoran dan warung-warung makan. Sebahagian besar dari siangnya digunakan untuk tidur sehingga meninggalkan solat jemaah atau lewat mengerjakannya. Bila malam waktu berbuka mereka duduk mengelilingi meja dan meninggalkan solat maghrib berjamaah.
Di bulan Ramadhan adalah peluang untuk berniaga, menawarkan barang perniagaan dan mencari kebendaan dunia yang fana. Mereka begitu bersemangat dalam melakukan aktiviti jual beli, sentiasa dipasar-pasar dan meninggalkan masjid-masjid Allah Ta’ala. Jika ke masjid mereka pergi dengan tergesa-gesa dan sempit dada, tiada merasakan ketenangan kerana disibuki hal-hal perniagaan.
Ada juga dikalangan kita yang menyibukkan diri meminta-minta sedekah dipasar-pasar, masjid-masjid Allah Ta’ala bahkan dijalanan kerana mengharapkan rahmat bulan Ramadhan. Sanggup berpergian dari satu tempat ke satu tempat atas tujuan mengumpulkan harta dengan jalan meminta-minta. Berpura-pura seperti dalam kesusahan dan ditimpa musibah padahal tidaklah sedemikian. Mengingkari nikmat sihat dan kaya yang diberikan oleh Allah Ta’ala. Mengambil harta yang bukan menjadi haknya.
Begitu jauhi sekali sikap menyibukkan diri dibulan Ramadhan diantara kita dan para salafussholeh, jauh bezanya bagaikan langit dan bumi. Nabi shollahualaihiwasallam bersungguh-sungguh dalam amal ibadatnya dalam bulan Ramadhan melebihi bulan lain-lainnya. Dibulan Ramadahan ini juga Nabi sholallahualaihiwasallam mengurangi kesibukan yang juga merupakan ibadah dibulan lainnya. Beliau mengurangi amalan yang utama untuk melakukan amalan yang lebih utama dibulan ini. Jejak Rasullullah shollallahua’alaihiwasallam ini diikuti oleh para salafussholeh, dengan mengistimewakan bulan Ramadhan dan membezakannya dengan bulan-bulan dengan amalan-amalan soleh, menghidupkan malamnya dengan solat, siangnya berpuasa, berzikir dan membaca al-Quran.
Ketahuilah pahala amalan kebaikan yang dilakukan dibulan Ramadhan ini dilipatkali gandakan daripada bulan-bulan lain, justeru itu dari kebalikannya tersebut dosa-dosa bagi amalan kejahatan dan maksiat juga dilipatkali gandakan. Maka hendaklah kita takut kepada Allah Ta’ala dan menghormati batasan-batasan didalam bulan Ramadhan. Firman Allah Ta’ala dalam Surah Al-Hajj:32,
….وَمَن يُعَظِّمْ حُرُمَـتِ اللَّهِ فَهُوَ خَيْرٌ لَّهُ عِندَ رَبِّهِ…
“….barangsiapa yang mengagungkan apa-apa yang hormat disisi Allah maka itu adalah lebih baik baginya disisi Tuhannya…”
Imam Ibnu Katsir rahimahullah menafsirkan ayat diatas sebagai sesiapa yang tidak mentaati Allah Ta’ala dan tidak melangkaui batas-batas terhadap sesuatu yang suci dan menganggap melakukan dosa itu adalah sesuatu perkara yang amat besar. Mereka akan mendapat ganjaran yang besar kerana melaksanakan perbuatan tersebut daripada Allah Ta’ala. Sebagaimana seseorang yang melakukan amalan ketaatan akan diberi ganjaran besar dan sesiapa yang tidak melakukan perbuatan dosa juga akan menerima ganjaran yang besar.
Bersama kita menyambut Ramadhan dan menyibukkkan diri dengan amalan-amalan sebagaimana amalan para salafusholeh rahimakumullah, dan jauhilah daripada kesibukan-kesibukan yang tidak sepatutnya dengan melebihkan amalan utama berbanding dengan amalan yang lebih utama. Sekali dalam setahun hendaklah dikhususkan untuk tujuan itu semoga kita semua bertakwa. Semoga Allah Ta’ala menetapkan kita semuanya dalam perkataan dan amalan yang soleh.
[Olahan dan tambahan penulis daripada Bab: Kesibukan Di Bulan Ramadhan , Kitab Bimbingan Meraih Kemulian Ramadhan oleh Syeikh Salih Fauzan Al-Fauzan.]
Wassalamualaikum wbt.
Comments
Post a Comment
Pandangan Anda ?