Tatacara Berselawat dan Salam Ke Atas Nabi
Berselawat ke atas Nabi Muhammad shallallahualaihiwasalam merupakan ibadat yag dituntut dalam Islam. Dalilnya firman Allah Ta'ala:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيماً - الأحزب: 57
Kalimat صَلُّوا dan سَلِّمُوا adalah kata suruhan yang membawa maksud perintah terhadap orang-orang yang beriman untuk berselawat dan ucap selamat ke atas Nabi Muhammad shallallahu'alaihiwasallam. Apakah yang dikatakan selawat ? Selawat adalah perkataan Arab daripada صلوات , kata nama ganda sedangkan kata nama tunggalnya adalah صلاة bermaksud doa. Selawat bermaksud mendoakan keberkatan dan rahmat ke atas Rasulullah shallallahu'alaihiwasallam.
Hukum berselawat secara umumnya adalah sunat dalam semua keadaan (kecuali yang dilarang syara' seperti didalam tandas), sebagaimana sebuah hadis diriwayatkan oleh Abi Daud dalam kitab sunannya , daripada Abu Hurairah radhiallahu'anhu.
"Janganlah kamu jadikan kuburku tempat perayaan dan berselawatlah kepadaku, baik dimana sahaja kamu berada." - Sanadnya Sahih
Dalam keadaan yang khusus seperti mengucap selawat dalam solat selepas daripada bacaan tasyahhud akhir adalah wajib menurut Imam As-Syafi'e rahimahullah. Maka jika ditinggalkan selawat ke atas Nabi shallallahu'alaihiwasallam, solatnya tidak sah.
Begitu juga ketika mendengar nama Nabi Muhammad shallallahu'alaihiwasallam, maka ada banyak hadis-hadis yang menyatakan akan keutamaan berselawat ke atas Nabi Muhammad shallalahu'alaihiwasallam dan mencela mereka yang tidak mengucapkannya. Dalam keadaan ini, hukumnya pada sesetengah pendapat adalah wajib dan manakala ada yang mengatakan sunnah muakkadah.
Begitu juga hukumnya sunat apabila hendak memulakan doa dan menutup doa dengan memuji Allah Ta'ala seterusnya berselawat ke atas Nabi shallallahu'alaihiwasallam . Hari Jumaat disunatkan memperbanyakkan selawat ke atas Nabi Muhammad shallallahu'alaihiwasallam. Wallahualam.
Apapun hukumnya, yang benar semuanya adalah merupakan tuntutan yang dibebankan ke atas mukallaf. Menerima tuntutan adalah kewajipan seorang muslim sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
"Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan tentang urusan mereka. Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata." Al-Ahzab:36
Bagaimana Cara Berselawat.
Dalam sebuah hadis sahih ada menerangkan tentang cara berselawat yang diajarkan oleh Rasulullah shallallahu'alaihiwasallam, antaranya apa yang dirakamkan oleh Imam Bukhari rahimahullah bahawa Ka'b bin 'Ujrah pernah berkata:
"Wahai Rasulullah ! Tentang mengucapkan salam ke atas mu kami mengetahuinya, tapi bagaimana dengan selawat ? Nabi shallallahu'alaihiwasallam bersabda, katakanlah oleh kamu:
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيد
"Ya Allah ! Pohonkanlah selawat Engkau ke atas Muhammad dan ke atas keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau berselawat ke atas keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji Maha Mulia. Ya Allah berilah keberkatan ke atas Muhammad dan ke atas keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau beri keberkatan ke atas keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji Maha Mulia."
Demikian banyak lagi hadis-hadis yang seumpamanya tentang lafaz selawat ke atas Nabi Muhammad shallallahu'alaihiwasallam ada juga lafaz sebahagiannya sahaja. Menurut Imam Nawawi rahimahullah, yang wajib daripada lafaz selawat tersebut adalah:
1) اللَّهمّ صلِّ على النبي
2) صلى اللّه على محمد
3) صلى اللّه على رسوله
4) صلى اللّه على النبي
5) اللَّهم صلِّ على محمد
6) صلى اللّه على أحمد
7) صلَّى اللّه عليه
Apabila berselawat ke atas Nabi shallallahu'alaihiwasallam hendaklah dikumpulkan kedua selawat dan salam sebagai صلّى اللّه عليه والسلام.
Hendaklah mengeraskan suara dengan selawat dan salam apabila disebut nama Rasulullah shallallahu'alaihiwasallam tetapi tidak terlalu lantang dan tinggi atau tidak terlalu keras cukup sekadar boleh didengari secara sederhana.
Apakah boleh berselawat ke atas para Nabi lain dan malaikat ? Jawabnya boleh. Jika orang lain selain daripada Nabi maka jumhur ulama melarangnya sebagai selawat ke atas sahabat seperti أبو بكر صلى اللّه عليه وسلم . Melainkan diucapkan bersamaan atau seiring dengan Nabi shalawatullahi wa salamuhu alaihim seperti:
اللَّهمّ صلّ على محمد، وعلى آل محمد، وأصحابه، وأزواجه، وذرِّيته، وأتباعه
Hukum larangan ini khilaf , berkata setengahnya adalah haram hukumnya, sebikangan besar makruh yang mendekati haram (makruh tanzih). Begitu juga dengan ucapan salam tidak boleh diucapkan selain daripada para nabi, maka tidak boleh mengucapkan Ali عليه السلامِ .
Khusus para sahabat, tabi'in atau sesiapa sahaja daripada kalangan ulama hendaklah diucapkan رضي اللّه عنه atau رحمه اللّه . Dianjurkan ucapan رضي اللّه عنه untuk para sahabat dan رحمه اللّه untuk selain sahabat daripada kalangan ulama.
Wallahualam bishowwab.
Wassalam
kenapa hanya selawat sedangkan firman ALLAH untuk berselawat dan sampaikan salam sejahtera keatas nabi saw
ReplyDelete