Pelajaran Fiqh Di Blog

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ


Segala pujian bagi Allah, kami memuji-Nya, meminta pertolongan-Nya, memohon keampunan-Nya. Dan kami berlindung dengan Allah daripada kejahatan diri kami dan daripada kejelekan amalan perbuatan kami. Aku bersaksi tiada tuhan melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad (shallallahu'alaihiwasallam) itu Pesuruh Allah. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad (shallallahu'alaihiwasallam) juga ke atas keluarganya, para sahabat dan kepada mereka yang mengikutnya seluruhnya.

Selepas daripada ini, saya berniat untuk memulakan satu label bagi entri baru yang dikhususkan untuk pelajaran fiqh. Rujukan bagi pelajaran fiqh ini adalah Fiqhul Manhaji 'Ala Mazhab Al-Imamu As-Syafi'e tulisan bersama tiga orang pakar fiqh iaitu Syaikh Mustafa Al-Khin rahimahullah, Syaikh Mustafa Al-Bugha hafizahullah dan Ustaz Ali As-Syurbaji hafizahullah. Ketiga-tiga ulama ini merupakan ulama bermazhab Syafi'e dan pakar fiqh zaman ini. (Syaikh Mustafa Al-Khin telah meninggal dunia pada tahun 2008 lepas, semoga Allah mencucuri rahmat ke atas ruhnya dan menempatkannya dikalangan orang yang beriman dan berbuat kebaikan)

Pemilihan kitab ini berdasarkan hal-hal berikut:

1) Pegangan masyarakat Islam Malaysia yang merupakan majoritinya bermazhab Syafie dan mazhab ini menjadi mazhab rasmi negara. Orang Melayu Nusantara, amat kuat berpegang kepada mazhab Syafi'e. Ini terbukti dalam sejarah bahawa sejak dari awal kedatangan Islam lagi, masyarakat hanya mengenal mazhab Syafi'e dan ianya kuat dipraktikan hinggakan kalau kita lihat tinggalan kanun-kanun atau undang-undang dahulu hukum-hakamnya bersumberkan mazhab syafi'e dan juga kalangan mazhab syafi'iyyah. Mazhab yang menjadi anutan masyarakat nusantara ini pernah berkali-kali mengalami cubaan untuk ditajdidkan oleh golongan-golongan tajdid yang dikenali sebagai kaum muda (reformis agama Islam sekitar tahun 1900 Masihi). Namun terbukti panutan kepada mazhab Syafi'e ini tetap utuh sehingga sekarang.

2) Mazhab Syafie merupakan salah satu daripada 4 mazahab yang sepakati oleh umat Islam sebagai mazhab yang sahih di kalangan Ahli Sunnah wal Jamaah selain dari mazhab Maliki, Hanafi dan Hanbali. Justeru tidak ada masalah, ianya tidak keluar dari Ahli Sunnah wal Jamaah.

3) Al-Imam As-Syafie rahimahullah, atau namanya Muhammad bin Idris As-Syafie merupakan ulama salaf yang dilahirkan pada tahun 150 Hijrah, dimana kurun beliau hidup merupakan kurun yang terbaik sebagaimana dalam hadis Rasulullah shallallahu'alaihiwasallam tentang 3 generasi terbaik. Berpegang kepada mana-mana ulama yang bermanhaj salaf adalah yang terbaik kerana inilah jalan salafussoleh.

4) Beliau bertemu nasab atau mempunyai pertalian keluarga dengan Rasulullah shallallahu'alaihiwasallam melalui Abdu Manaf. Jadi beliau adalah 'Alawiyyin Ahlu Bait Rasulullah shallallahu'alaihiwasallam.

5) Beliau merupakan pengasas kepada ilmu Ushul Fiqh yang menjadi salah satu ilmu yang menggariskan kaedah mengenal hukum melalui dalil-dalil yang terperinci.

Inilah kelebihan yang saya dapati terdapat pada Al-Imam As-Syafie yang membuatkan saya begitu yakin dengan mazhab atau aliran yang dibawanya untuk dijadikan sebagai pedoman dalam bermazhab.
Bagaimanapun ini tidaklah bermaksud saya mememandang rendah atau tidak menyakini para imam lain terutamanya imam 3 mazahab utama yang lain tetapi saya khuatir berlaku kecelaruan dalam memahami hukum-hukum fiqh memandangkan masyarakat awam bukanlah mereka yang mendalami ilmu secara khusus hinggakan mereka boleh membahaskan kekuatan dalil daripada mana-mana pendapat imam-imam mazhab dan mengambil pendapat yang kuat diantaranya. Ini adalah kerja mujtahid. Masyarakat awam adalah muqallid mereka tidak mempunyai keupayaan samada dari segi ilmu, masa dan kefahaman. Muqallid di sini bermaksud taqlid bi'ilm, iaitu ikutan dengan ilmu bukan taqlid buta. Justeru itu, ini adalah sebahagian daripada tujuan saya iaitu biar masyarakat tahu khususnya saya sendiri kenal dan tahu tentang hukum-hakam dan dalil-dalilnya. Jadi adalah satu keperluan bagi masyarakat awam ini mempunyai satu pegangan atau tempat berpaut dalam melaksanakan hukum-hukum syariat secara yakin dan teguh. Dengan kata lain mempunyai tempat untuk merujuk dalam masalah hukum serta adanya keseragaman dalam amalan-amalan ibadah. Ini penting agar tidak berlaku kekeliruan dalam masyarakat terutamanya dalam masalah agama. Melainkan dalam masalah-masalah baru yang timbul mereka boleh merujuk kepada ulama-ulama kontemperor syafi'iyyah. Ini akan memudahkan kefahaman mereka dan mereka dapat berpegang teguh padanya.

Akhirnya saya amat berharap ada para sahabat dan para ustaz diluar sana turut bersama membantu saya dalam usaha murni ini agar masyarakat kita dapat diberi kefahaman tentang hukum-hukum agama kerana mengenal hukum halal dan haram adalah amat penting dalam kehidupan masyarakat yang inginkan kesejahteraan dunia dan akhirat.
Saya mengharapkan redha Allah Ta'ala dalam kerja-kerja saya ini dan mengharapkan pertolongan-Nya serta semoga Allah memudahkan urusan dakwah saya ini dengan niat untuk menyeru masyarakat kepada jalan Allah Ta'ala agar kita semua diberkati oleh Allah Subhanahuwata'ala. Ya Allah, Engkau tunjukkanlah kami kepada jalan-Mu yang lurus lagi hanif, tetapkanlah niat kami agar berada dalam keikhlasan dalam segala amal perbuatan dan perkataan, bantulah kami dalam urusan kami dan lindungilah kami daripada syaitan yang direjam daripada kalangan jin dan manusia. Amin !

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Syed Osram Al-Husaini
23 Ramadhan 1430 Hijrah




Comments

Popular posts from this blog

Tasrif (تصريف): Pengenalan

Tanda Al-Ismu:"ا ل" dan التنوين

Mengenal Kata Nama الأسم