Pengantar Al-Fiqhul Manhaji (Bhg:1)
بسم الله الرحمن الرحيم
Kitab Fiqh Manhaji dimulakan dengan pengenalan kepada maksud fiqh dan kepentingannya. Membahaskan sumber-sumber yang menjadi dalil-dalil kepada hukum-hukum syariat. Seterusnya mengenali istilah-istilah yang diguna pakai oleh fuqaha dalam menetapkan hukum-hukum berbentuk suruhan dan larangan. Pelajaran ini diletakkan dibawah tajuk "madkhalun" iaitu "pengantar". Terjemahan secara bahasanya adalah "tempat masuk", dan ini dapat kita fahami bahawa sebelum mengetahui perihal hukum-hukum yang berbentuk amalan atau sebelum meneruskan mengambil isi-isi hukum fiqh hendaklah kita masuk dahulu melalui pintunya iaitu mengetahui asas terbinanya hukum-hukum syariat yang berbentuk amaliyah.
Ini kerana memahami asas-asas kepada terbinanya sesuatu hukum itu akan memudahkan kita beramal dengannya secara pasti dan yakin tanpa taklid buta dan bersikap lebih berhati-hati dalam melaksanakannya dengan mengetahui keutamaan-keutamaan yang mana patut didahulukan dan yang mana patut dikemudiankan dalam mengamalkan hukum-hukum berbentuk suruhan dan larangan Allah Ta'ala.-pen]
Pengantar Fiqh
Makna Al-FiqhuTerdapat dua makna bagi al-fiqhu:
1) Makna secara bahasaAl-Fiqhu ialah kefahaman. Faham dan memahami sesuatu.
2) Makna secara istilah
Terdapat dua keadaan:
- Al-Fiqh itu ialah mengetahui hukum-hukum syariat yang berkaitan dengan perbuatan dan perkataan mukallaf, dengan dalil-dalilnya yang terperinci. Iaitu dalil-dalil dari Al-Quran, Al-Hadis dan cabang-cabang daripada keduanya iaitu ijma' dan ijtihad.
- Al-Fiqh itu ialah hukum-hukum syariat itu sendiri.
[Disini perlu ditekankan bahawa fiqh itu ialah mengetahui hukum-hukum syariat Islam dengan dalil-dalilnya. Bermaksud pengetahuan tentang hukum-hukum agama yang bersifat amali perbuatan seperti solat sebagai contoh hendaklah diketahui melalui adanya petunjuk menyuruh beramal dengan amalan sedemikian. Sebaliknya bukanlah amalan itu diketahui semata-mata kerana orang disekitar kita amalkan seperti itu maka kita turut amalkan atau kita amalkan amalan itu mengikut cara kita tersendiri dengan mereka-reka amalan tertentu kerana kita rasa ianya bagus dan sesuai untuk kita. Mengetahui hukum dengan dalilnya adalah wajib, taklid tanpa ilmu adalah haram dan bid'ah dalam ibadah adalah haram.
Syeikh Yusuf Al-Qardhawi menjelaskan bahawa hukum-hukum syara' itu terbahagi kepada dua iaitu:
- Hukum yang ditetapkan langsung oleh nas-nas Al-Quran dan As-Sunnah secara jelas dan terang.
- Hukum yang ditetapkan dengan jalan ijtihad para ulama dan fuqaha yang tetap berpedomankan Al-Quran dan Sunnah atau yang tiada nas langsung melainkan melalui qias dan sebagainya. - ( Terjemahan kitab Madkhalun lidirasatil Syari'atil Islamiyyah oleh Syeikh Yusuf Al-Qardhawi)
Maka tertolaklah pendapat yang mengatakan syariat itu sesuatu ilmu yang lain dan fiqh itu pula yang lain. Kerana syariat itu adalah tujuan dan fiqh itu adalah cara mengenal hukum syariat. Tanpa fiqh kita tidak tahu atau mengenali hukum syariat.
Istilah pertama berbeza dengan istilah ushul fiqh kerana istilah ushul fiqh adalah mengenali hal-hal yang membahaskan dalil-dalil fiqh secara umum dan cara-cara menggali hukum-hukum daripada dalil-dalilnya dan membahaskan keadaan orang yang menggali hukum-hukum tersebut (mujtahid). Oleh itu jangan keliru antara ilmu fiqh dengan ilmu ushulul fiqh. Kitab Fiqh Al-Manhaji tidak membahaskan ilmu ushul fiqh tetapi ianya membahaskan ilmu fiqh]
Kaitan Fiqh dengan Akidah:
Hukum-hukum syariat mengatur perbuatan dan perkataan mukallaf. Ia berhubungan dengan iman kepada Allah Ta'ala dan rukun kepada kesempurnaan akidah Islamiyah dan tidaklah akidah iman itu berkenaan dengan kepercayaan hari akhirat sahaja. Akidah keimanan itu menjadikan seorang muslim berpegang teguh dengan hukum-hukum agama dan mengikutinya dengan usaha untuk taat. Membiasakan dengan hukum-hukum syariah adalah cabang yang keluar daripada iman yang diturunkan dan disyariatkan kepada hamba-Nya.
Kesempurnaan Hukum Syariat Meliputi Segala Keperluan Manusia
Kehidupan manusia terdiri daripada pelbagai sudut. Setiap sudut ini menentukan kebahagian manusia, maka fiqh Islami datang untuk memelihara setiap daripada sudut-sudut ini agar manusia sentiasa berada dalam kebaikan dan jauh daripada kerosakkan. Kajian terhadap sumber-sumber hukum fiqh Islami menunjukkan terdapat 7 sudut kehidupan manusia yang dipelihara agar sentiasa dalam keadaan harmoni;
1) Sudut Ibadat.
Iaitu aturan-aturan wudhu, solat, puasa, zakat, haji dan lain-lainnya. Ini dinamakan hukum hukum ibadat.
2) Sudut Kekeluargaan
Iaitu aturan berpasangan, penceraian, keturunan dan penyusuan, nafkah dan waris dan lain-lainnya. Dinamakan hukum hal keperibadian (Al-ahwal Syakhshiyyah)
3) Sudut Hubungan Manusia
Iaitu aturan berurusan sesama manusia seperti jualbeli, gadaian, pinjaman, dan lain-lainnya. Dinamakan hukum mu'amalat.
4) Sudut Kehakiman
Iaitu aturan berkaitan dengan pemerintahan seperti menegakkan keadilan, menolak kezaliman. menguatkuasakan hukum-hukum, kewajiban yang dihukum untuk taat selain dalam perkara kemaksiatan dan lain-lainnya. Ini dinamakan hukum penguasa (al-ahkamus sulthaniyyah) atau pensyariatan siyasah (as-siyasahus syar'iyyah).
5) Sudut Kesalahan
Iaitu aturan berkaitan dengan perbuatan pelaku kesalahan dan memelihara keamanan dan keteraturan seperti kesan-kesan ke atas pembunuh, pencuri, peminum arak dan lain-lainnya. Dinamakan al-'uqubat atau balasan daripada perbuatan salah.
6) Sudut Ketatanegaraan
Iaitu aturan berkaitan dengan perhubungan antarabangsa, antara negara-negara lain samada da;am peperangan atau perdamaian. Dinamakan As-Siyar.
7) Sudut Akhlak dan Adab
Iaitu aturan yang berkaitan dengan etika, kesopanan, berbuat pembaikan, dan lain-lainnya. Ini dinamakan Akhlak dan Adab.
Ini menunjukkan bahawa fiqh Islami itu sempurna peraturannya, dan diperlukan oleh setiap manusia yang merangkumi kehidupan individu dan masyarakat.
Fiqh Islami Memudahkan dan Menghilangkan Kesukaran
Dalil Al-Quran:
1) ومَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ في الدَّينِ مِنْ حَرَجٍ - الحج:78
"Tiadalah Kami menjadikan atas kamu dalam agama daripada kesusahan"
2) يُرِيدُ اللهُ بِكُمُ اليُسْرَ وَلا يُرِيدُ بِكُمُ العُسْرَ - البقرة:185
"Allah menghendaki pada kamu kemudahan dan tiadalah Dia mahu pada kamu kesusahan"
3) لا يُكَلَّفُ اللهُ نَفْساً إلآ وُسْعَها - البقرة:286
"Allah tidak membebankan seseorang melainkan sekadar upayanya"
Dalil Hadis:
1) إنَّ الدَّينَ يُسـْرٌ - رواه البخاري:39
"Sesungguhnya agama itu mudah"
Islam bertujuan menjaga keperluan manusia melalui pensyariatan hukum-hukum seterusnya memastikan kebahagian mereka. Maka setiap hukum-hukum berada dalam kadar kemampuan manusia dan ianya menjamin had sempadan kemampuannya. Hukum itu bukan sesuatu yang melemahkan manusia daripada menunaikannya dan mendirikannya. Sesungguhnya agama membuka pintu-pintu kemudahan dan keringanan, apabila didapati kesusahan yang terkeluar daripada batas-batas kemampuannya atau penyebab kepada kesusahan dan menambah keberatan, khususnya dalam keadaan tertentu.
[Hukum yang disyariatkan oleh Allah Ta'ala sesuai mengikut tahap kemampuan manusia. Allah Ta'ala mengetahui akan tahap kemampuan manusia dalam menerima bebanan daripada-Nya, semua itu pastinya berada dalam lingkungan kemampuan manusia dan disediakan kelonggaran-kelonggaran mengikut suasana dan keadaan yang dihadapi oleh manusia seumpama solat duduk kerana tidak berupaya berdiri kerana uzur atau sakit, dan juga solat jama' dan qashr kerana dalam perjalanan untuk urusan-urusan yang tertentu. Kemudahan itu ialah apa yang telah dibuka ruangnya oleh fiqh Islami bukan kemudahan yang berdasarkan kesenangan hawa nafsu seperti meninggalkan solat wajib kerana sakit sedangkan hukum Islam tidak menyatakan kebolehan meninggalkan solat wajib kerana sakit melainkan diberi keringanan dalam melaksanakannya. Itulah mudahnya Islam dalam melaksanakan tuntutan suruhan dan larangan Allah Subhanahu wa ta'ala.-pen]
Insyallah sambungan Sumber-Sumber Fiqh Islami....
salam sangat mbantu saya dlm pljran, tp blh xtukar color font ? syukran *_*
ReplyDelete