Tubuh Sihat Otak Sihat

Alhamdulillah !

Pernahkah anda mendengar pepatah ini "Akal Yang Sihat Berada Dalam Tubuh Yang Sihat" ? Bagi mereka yang pernah bersekolah aliran arab atau mereka yang mempelajari Bahasa Arab sudah pasti tahu tentang pepatah ini. Pepatah ini merupakan pepatah orang Arab, lafaz Arabnya;

العَقْلُ السَّلِيمُ في الجِسمِ السَّلِيْمِ

Apabila melafazkan kalimat ini, segera ingatan saya mengimbau kenangan ketika di zaman persekolahan dahulu. Ini adalah antara kalimat yang dijadikan bahan pertandingan menulis khat antara para pelajar tingkatan 5 ketika saya di Sekolah Menengah Agama Marang, Terengganu sekitar tahun 1990. Indahnya zaman persekolahan, namun segalanya berakhir jua namun kalimat ini masih melekat dihati dan minda saya walaupun telah hampir 20 tahun berlalu.

Kalimat ini mencetuskan semangat saya untuk terus beriadhah melakukan aktiviti yang melibatkan gerakan anggota badan seterusnya memastikan tubuh badan sentiasa sihat kerana hanya tubuh yang sihat akan menjamin akal atau minda kita berada dalam kesejahteraan dan kecerdasan yang optima. Entri kali ini saya ingin membicarakan betapa pepatah ini sebenarnya menyimpulkan suatu kaedah umum untuk menjadikan seseorang itu cerdas, cekap, tajam fikiran, pintar dan ceria. Insya Allahu Ta'ala.

Kajian kesihatan menunjukkan tubuh yang sihat mampu menjana kekuatan minda dan meningkatkan prestasi sistem ingatan otak, mood yang seimbang dan paras tenaga yang tetap dan meningkatkan tahap kesihatan mental dan perasaan. Selain itu , pemakanan yang sihat dan berkhasiat juga adalah antara kunci kepada kesihatan tubuh dan keseluruhan organ badan manusia. Kedua-duanya, iaitu pemakanan dan senaman (sebarang aktiviti pergerakan tubuh yang tetap setiap hari) adalah kunci kepada kesihatan tubuh badan manusia. Jika kita mampu menyesuaikan pemakanan dengan aktiviti fizikal dan memastikan keduanya berjalan seiring, maka kesihatan tubuh badan akan berada tahap yang amat baik dan mantap. Insyallah !

Saya akan tumpukan perbicaraan pada senaman kerana ianya sangat penting dalam kehidupan yang serba moden ini terutamanya masyarakat bandar metropolitan. Berbeza dengan zaman nenek moyang kita dahulu apa yang mereka lakukan dalam pekerjaan sehari-hari seperti berternak, bercucuk tanam, menangkap ikan , memburu dan seumpamanya itu adalah merupakan senaman bagi mereka.




Bercucuk tanam ada dua kebaikan; berbakti pada bumi dan menyihatkan tubuh


Begitu juga pekerja-pekerja buruh yang bekerja menggunakan tenaga fizikal, seperti buruh bangunan sebagai contoh. Mereka ini semua beruntung kerana mereka melakukan aktiviti semua dalam satu, menjimatkan masa tidak perlu kepada senaman yang berbentuk formal dan tersusun. Mereka tidak perlu berfikir tentang peruntukan masa yang diperlukan untuk bersenam bagi menjamin kesihatan mereka. Waktu kerja mereka setiap hari, diwaktu siangnya, sudah cukup membuatkan tubuh badan mereka berada dalam keadaan sihat. Masa selebihnya, iaitu waktu malam adalah waktu istirehat bersama keluarga dan hari-hari cuti mereka sepenuhnya digunakan untuk aktiviti-aktiviti lain yang bermanafaat seperti aktiviti sosial dan kemasyarakatan. Maka dari itu jika anda seorang buruh atau pekerja yang banyak menggunakan tenaga fizikal maka syukurlah kepada Allah Ta'ala akan nikmat-Nya.

Pekerja buruh, seluruh harinya dipenuhi aktiviti senaman.

Sindrom Sedentari

Itulah hakikat dunia hari ini, semakin maju dan berteknologi tinggi semakin ia merenggut kesejahteraan tubuh kita. Manusia generasi kini menghidapi sindrom sedentary iaitu, cara hidup yang kekurangan aktiviti fizikal. Sindrom ini dikenali dengan duduk dan tidak aktif seharian seperti menonton tv, mengadap komputer dan membaca selama berjam-jam tanpa sebarang aktiviti fizikal yang lasak.

Sindrom Sedentari

Bahkan kemudahan teknologi juga membentuk sindrom ini terhadap manusia, kenderan bermotor seperti kereta dan motosikal sememangnya diakui akan kepentingannya tetapi jika digunakan dengan bijak. Kita lihat sahaja sikap kita apabila keluar berkenderaan ke pasaraya, pejabat atau mana-mana sahaja, kita lebih suka meletakkan kenderaan betul-betul berhadapan dengan tempat yang kita tujui dan sanggup tunggu berjam-jam menantikan parking kosong dihadapan. Walaupun jarak 300 meter, oleh kerana dijangkiti sindrom ini kita bermotosikal. Begitu juga apabila pejabat berada ditingkat atas kita lebih selesa dengan lif, kalau dipasaraya kita dimudahkan dengan tangga elevator.

Sindrom sedentari adalah penyumbang kepada kematian yang boleh dielakkan, seperti obses dan penyakit kardiovaskular (penyakit jantung dan saluran darah). Hasilnya, sindrom ini mengakibatkan lemahnya kesihatan fizikal dan mental manusia sekaligus melemahkan sistem daya tahan tubuh daripada penyakit. Sedari atau tidak sindrom sedentari juga membentuk sindrom malas.

Bagaimanapun kemajuan teknologi tidak boleh dihalang dan ianya juga memberi kebaikan buat kita. Maka perlu ada suatu cara untuk mengatasi sindrom ini, iaitu disiplin diri dengan menjadikan senaman sebagai satu rutin harian tambahan dalam kehidupan kita seharian.

Senaman Itu Penting

Senaman yang tersusun dan formal untuk generasi kini adalah suatu keperluan untuk meneruskan kehidupan dan perlu menjadi sebahagian daripada amalan kehidupan seharian kita. Jika anda seorang pekerja yang tidak banyak menggunakan anggota empat kerat, maka senaman adalah suatu kemestian. Anda terpaksa memperuntukkan masa untuk itu, kerana kita sendiri yang telah menjadikannya sebahagian daripada kehidupan kita.

Gerakan dan senaman meningkatkan kadar pernafasan dan degupan jantung anda supaya lebih banyak darah mengalir ke otak, sementara itu meningkatkan pengeluaran tenaga dan membuang sisa tokisn dalam badan. Tubuh badan akan bertindakbalas terhadap senaman yang kita lakukan, pernafasan menjadi berat dan laju, degupan jantung laju, otot meregang dan anda berpeluh. Ini adalah tindakbalas normal yang disusun atur oleh Maha Pencipta, sistem tubuh manusia sememangnya menakjubkan.

Seharusnya aktiviti ini dilakukan pada permulaan hari lagi, bagi memastikan tubuh sentiasa aktif dan mampu menerima bebanan seterusnya. Pada waktu subuh, semasa anda masih berada di atas katil lakukan regangan tubuh dan gerakkan hujung kaki atau sebarang gerakan otot kerana ianya mampu merangsang saraf otak dan organ anda. Lakukan senaman ini secara tetap setiap kali bangun tidur kerana ia akan mengaktifkan badan anda dengan cepat dan menghilangkan kantuk.

Berjalan adalah satu bentuk gerakan yang paling kuno dan baik untuk kesihatan kita. Berjalan adalah kenderaan pengangkutan yang membawa kita dari satu ke satu tempat yang lain. Kini ianya digantikan dengan motosikal dan kereta. Berjalan khasnya, memberi kemanafaatan yang banyak kepada otak kerana ia melancarkan peredaran darah dalam tubuh kita dan meningkatkan pengaliran oksigen dan glukos ke otak. Berjalan tidak mengakibatkan tekanan, jadi otot kaki anda tidak akan mengambil lebihan oksigen dan glukos seperti yang berlaku ketika anda melakukan bentuk senaman yang lain.

Apabila anda berjalan, proses pengoksigenan berlaku secara berkesan dalam otak. Mungkin itu antara penyebab "kepala anda rasa lapang" ketika berjalan dan membantu anda berfikir dengan lebih baik. Kajian terhadap orang tua yang kerap berjalan menunjukkan peningkatan kemahiran ingatan berbanding dengan mereka yang tidak. Berjalan juga mampu meningkatan kebolehan belajar, tumpuan dan menganalisis data dan masalah. Ancaman strok juga berkurangan sebanyak 57% pada mereka yang berjalan paling kurang 20 minit sehari.

Berlari mampu mempercepatkan process pertumbuhan sel dalam otak dan melambatkan process kematian sel. Kesannya berlaku pada bahagian hippocampus yang terdapat dalam kawasan otak. Hippocampus dikaitkan dengan fungsi aktiviti pembelajaran dan ingatan, dimana kegagalannya menyebabkan penyakit Alzheimer (kegagalan fungsi otak) dan amnesia (hilang ingatan). Wal'iyadzubillah min dzalik.

Berlari juga meningkatkan keberkesanan fungsi eksekutif otak, kajian yang dijalankan oleh sekumpulan perubatan mendapati perbezaan peningkatan proses analisa otak dalam perancangan, pengurusan organisasi dan kebolehan menentukan secara mental sesuatu tugas intelek yang berbeza dalam masa yang sama. Kajian juga menyatakan senaman mungkin berupaya menghalang penurunan mentaliti akibat penuaan.

Segalanya Kehendak Allah Ta'ala

Apapun kebaikannya, ingatlah kita tidak akan mampu melakukan ke semua itu jika Allah Ta'ala tidak menghendaki ia berlaku. Firman Allah Ta'ala dalam surah At-Takwir:29,



وَمَا تَشَاؤُونَ إِلَّا أَن يَشَاءَ اللَّهُ رَبُّ الْعَالَمِينَ
"Dan kamu tidak dapat menghendaki (menempuh jalan itu) kecuali apabila dikehendaki Allah, Tuhan semesta alam."


Jika Allah Ta'ala tiada berkehendak kita maka Allah Ta'ala akan mempersulitkan kita dalam urusan kita. Begitu juga jika kita berkeinginan untuk menjaga kesihatan tubuh dan akal kita tetapi Allah Ta'ala tidak menginginkan itu berlaku maka Allah Ta'ala mempersulitkan jalan-jalan untuk kita bersenaman dan beraktiviti fizikal.

Maka perkara yang pertama-tama perlu kita lakukan adalah untuk mencapai kesejahteraan hidup dunia dan akhirat ialah kita menghapuskan tabir-tabir nafsu yang menghalang antara kita dengan Allah Ta'ala. Apabila telah hilang penghadang-penghadang antara kita dengan Allah Ta'ala, Allah Ta'ala akan memimpin kita ke arah yang diredhai-Nya. Lantas kita disaran berdoa menjauhi kemalasan dan dipermudahkan segala urusan.

Keberuntungan Umat Islam

Ibadat yang disyariatkan seperti solat melibatkan pergerakan otot merupakan suatu anugerah yang tak terhingga buat kita sebagai umat Islam. Solat wajib seumpamanya, 5 kali satu hari dengan setiap waktu solat itu kira-kira 10-15 minit, jumlahnya 50-75 minit sehari pergerakan yang kita lakukan. Susunan waktu solat yang tertib, ketika bangun tidur diwaktu subuh hinggakah ke malamnya waktu isyak semuanya mengandung pergerakan. Apatah lagi jika dilakukan secara berjamaah, berjalan kaki ke surau atau masjid mempunyai manafaatnya selain daripada pahala. Cuba kira setiap langkah anda ke masjid atau surau ?.... kajian mengatakan dalam sehari 20 minit perlu diluangkan untuk berjalan sedangkan kita diberi kesempatan oleh Allah melakukannya lebih daripada itu. Jika jarak rumah kita dengan masjid 300 meter, kita berjalan sebanyak 300 langkah dan balik ke rumah 300 rangkah dan mengambil masa 10 minit. Cuba anda kira sendiri manafaatnya ? Allah Akbar ! Besarnya kurniaan Allah Ta'ala kepada kita, mengapa kita hendak lepaskan ?

Ditambah lagi dengan sunnahnya riadhah bermain bersama-sama anak dan isteri pada masa tertentu, sunnahnya pekerjaan bercucuk tanam, berdagang, menolong angkat barangan orang lain dan sebagainya. Lihat ! Bagaimana Islam menjaga seluruh aspek daripada kehidupan kita. Ini adalah antara tujuan syariat Islam, iaitu menjaga akal daripada kerosakan.

Wallahualam
Wassalam

Comments

Popular posts from this blog

Tasrif (تصريف): Pengenalan

Mengenal Kata Nama الأسم

Tanda Al-Ismu:"ا ل" dan التنوين