Sebuah Jawapan: Sains Membuktikan Wanita Adalah Aurat

Golongan faithfreedom (golongan murtad dan kebebasan beragama) yang telah menyiarkan satu artikel yang mempersendakan hukum menutup aurat bagi wanita Islam. Artikel berbentuk sebaran itu disebarluaskan dalam internet dengan tujuan untuk menggoyahkan akidah umat Islam khususnya wanita-wanita beriman dengan kata-kata yang penuh dengan ejekan dan carutan.(Faith Freedom International adalah sebuah laman internet yang ditubuhkan oleh Ali Sina, seorang bangsa Iran yang telah murtad dan kini cuba mempengaruhi umat Islam lainnya mengikuti jejak langkahnya dengan melakukan beberapa kritikan keji terhadap Islam.)

Dengan bersandarkan hadis "Wanita adalah aurat. Apabila dia keluar syaitan mengekorinya” yang diambil dari kitab Mishkat al-Masabih oleh Waliuddin Abdullah Mahmud Tabrizi terjemahan Maulana Fazlul Karim. Secara tidak langsung, penghinaan ini dibuat terhadap dua pendapat jumhur ulama fiqh tentang batasan aurat wanita Islam.

  1. Mereka menulis bahawa wanita Islam yang melabuhkan pakaian dan menutupi keseluruhan tubuh badan mereka termasuk muka dan tangan sedang membawa mesej tersembunyi yang memberi isyarat kepada masyarakat sekitarnya bahawa mereka adalah 100% kemaluan (alat kelamin) iaitu objek seks dari hujung rambut ke hujung kaki. Semoga Allah Ta’ala membalas penghinaan mereka !


  2. Manakala wanita Islam yang menutup keseluruhan tubuh melainkan tapak tangan dan muka (tambahan - tapak kaki dalam mazhab Hanafi)mereka pula telah dikatakan kepala rambut dan tubuh mereka adalah sambungan daripada alat kemaluan melainkan tapak tangan dan muka. Kata mereka, wanita Islam ini memberi isyarat bahawa 96% diri mereka adalah kemaluan dan hanya 4% sahaja tidak. Semoga Allah Ta’ala membalas sendaan mereka !





Mereka memperlihatkan kebodohan mereka dan kekotoran minda mereka dengan mengatakan bahawa wanita Islam yang menutup aurat semuanya adalah walking talking vagina (kemaluan wanita yang berjalan dan bercakap).Kata mereka lagi, wanita Islam tidak berfikir melainkan dengan menggunakan kemaluan mereka. Mereka meneruskan penghinaan dengan mengatakan wanita Islam lemah pemikirannya, lemah dari segala sudut samada fizikal atau mental. Mereka mengatakan ini adalah kebodohan yang terdapat di dalam Islam. Semoga Allah Ta’ala membalas penghinaan mereka ini dengan balasan yang lebih dahsyat.

Malangnya, ada juga dikalangan umat Islam yang mudah terpengaruh dengan kebodohan golongan faithfreedom ini. Kebodohan yang amat jelas tentang hakikat kemanusiaan, namanya saja cerdik tetapi bodoh lagi sombong tidak tahu hakikat kejadian makhluk Allah Ta’ala. Pengaruh ini boleh saja kita lihat dalam pemikiran golongan liberal seperti SIS dan anti-hadis.

Sebenarnya darjat hadis ini dalam perselisihan ulama hadis, ada sebahagiannya mengatakan dhaif dan sebahagiannya sahih. Jika kedudukan hadis ini sahih sekalipun sebenarnya tidak bercanggah dengan apa yang telah ditemui oleh sains seksual. Saya akan melihat dari sudut pendapat yang mengatakan sahihnya hadis ini dan saya akan hubungkan hadis ini dengan hasil kajian sains seksual yang ditemui oleh kumpulan Discovery Channel. Sebelum saya pergi lebih lanjut penemuan saintifik ini ada baiknya saya membicarakan tentang aurat, malu dan kemaluan bagi menyangkal tuduhan golongan faithfreedom dari sudut terminology.

Antara “aurat”, “kemaluan”dan “malu”.

Golongan faithfreedom mengatakan aurat ialah private part, vagina, pudenda atau dalam bahasa melayu kemaluan wanita. Benarkah ? Saya yakin sebahagian dari kita juga terpengaruh dengan istilah ini terutamanya golongan liberalis. Mari kaji…

Kalimat عورة dalam kitab Al-Mishbahul Munir oleh Ahmad Al-Fayyumi menyatakan:
Menjadi buruk apabila dipandang padanya dan setiap sesuatu yang manusia menutupinya kerana keaiban dan malu

Aurat dalam istilah syara’ (fiqh), bermaksud setiap apa yang wajib ditutupi atau yang haram dilihat. Gabungan ini kita mendapatkan satu kefahaman bahawa, aurat adalah sesuatu keadaan atau benda yang jika melihatnya akan membawa keburukan kepada yang melihat dan malu kepada yang dilihat. Takrifan aurat ini mencakupi dua hal, mencegah keburukan dan menutup keaiban.

Seterusnya, terdapat tiga tempat didalam Al-Quran menggunakan kalimat عورة iaitu ayat 31 dan 58 dalam surah Al-Nur dan Al-Ahzab ayat ke 13. Kesemua kalimat aurat ini tidak secara khusus merujuk kepada kemaluan.

Sedangkan maksud bagi kemaluan yang lebih khusus dan tepat adalah “farjun” , فَرْجٌ dan “sau’ah” سَّوْءَةُ. Dalam kitab Lisanul Arab oleh Ibnu Mandzur فَرْجٌ adalah “celah antara dua benda” dan Al-Qur’an menggunakan kalimat ini dalam ayat 5 surah al-Mukminun menyatakan sifat orang beriman yang berjaya itu adalah mereka memelihara kemaluan mereka. Ini menjelaskan kalimat khusus merujuk kepada “anggota sulit atau kemaluan” adalah “farjun”. Begitu juga سَّوْءَةُ dalam Lisanul Arab, bermaksud kemaluan lelaki dan perempuan dikatakan sebagai kejelekan dan kemaluan (apabila kelihatan). Al-Quran menggunakan perkataan sau’ah dalam surah Al-A’raf:22:

بَدَتْ لَهُمَا سَوْءَاتُهُمَا
“Nampaklah bagi kedua-duanya kemaluan-kemaluannya”

Kalimat , “farjun” adalah lebih menjurus kepada kemaluan secara biologi, sedangkan “sau’ah” adalah kemaluan secara psikologi.

Bagaimanapun antara kalimat “aurat” dan “farjun” dan “sau’ah”, kalimat “aurat” adalah menyeluruh dan termasuk didalamnya adalah “farjun”. Tetapi “aurat” tidak bermaksud kemaluan sahaja kerana setiap manusia normal sudah pasti tahu ada bahagian anggota mereka yang boleh mendorong untuk berasa malu dan ada anggota yang mereka tahu jika terdedah boleh merangsang syahwat mereka yang melihat. Umpamanya, dada, merupakan bahagian anggota tubuh jika kawasan ini terdedah juga boleh menimbulkan malu kepada empunya tubuh dan juga mengakibatkan keinginan seks kepada yang melihat. Jadi, dada juga termasuk takrifan “aurat”.

Itu dari sudut biologi, bahkan didapati “aurat” juga ada dalam aspek gerakan, suara, dan suasana sekitar. Dari aspek gerakan seperti liuk lintuk tubuh wanita, (iya…sememangnya wanita dijadikan sebegitu rupa) bisa juga masuk ke dalam takrifan aurat kerana gerakan tubuh badan merupakan gambaran aurat didalam wanita. Aspek suara juga merupakan aurat, kerana rayuan lemah gemalai suara wanita bisa menyebabkan tarikan syahwat, jelasnya kemaluan. Dalam aspek persekitaran seperti bilik peribadi, kita akan sentiasa memastikan pintunya sentiasa tertutup dan berkunci daripada dicerobohi atau dilihat oleh mereka yang tidak berkenaan kerana jika berlaku demikian akan menyebabkan malu dan keaiban kita terbongkar, suasana ini juga merupakan “aurat”. Dalam hal ini Al-Quran ada menyatakan masa yang tertentu itu juga “aurat” seperti firman Allah Ta’ala:

Hai orang-orang yang beriman, hendaklah budak-budak yang kamu miliki, dan orang-orang yang belum baligh di antara kamu, meminta izin kepada kamu tiga kali iaitu: sebelum sembahyang subuh, ketika kamu menanggalkan pakaianmu di tengah hari dan sesudah sembahyang Isya'. Tiga 'aurat bagi kamu.” – An-Nur:58

Apakah ayat di atas mengatakan tiga waktu di atas juga adalah waktu dimana alat sulit atau kemaluan tidak tertutup ? Tiga aurat yang dimaksudkan adalah dimasa itu kebiasaannya “aurat” tidak terjaga.

Makanya disini bermaksud keseluruhan tubuh samada dari segi biologi, psikologi boleh menjadi “aurat”.

Begitu juga Al-Quran dalam surah Al-Ahzab:13, menceritakan kisah penduduk Yatsrib (Madinah) ketika dipanggil untuk berjihad di medan perang mereka memberi untuk tidak menyertai perang dengan alasan rumah mereka “aurat”, bermaksud rumah mereka tidak terjaga atau terdedah kepada merbahaya kerana ketiadaan mereka. Apakah itu bermaksud kemaluan atau anggota sulit ? Sungguh salah dan tersasar jauh anggapan mereka tentang hakikat aurat.

Sebenarnya mereka, golongan faithfreedom, menganut fahaman yang tidak tahu malu. Malu bagi mereka semata-mata kemaluan lelaki dan perempuan. Jeleknya pemahaman mereka, amat tidak hairanlah mereka terdiri daripada golongan yang tidak malu dan tidak tahu malu. Sabda Rasulullah saw bermaksud:

“Bila engkau tidak malu, berbuatlah apa sahaja sekehendakmu” – HR. Bukhari.

Ini sindiran yang layak buat mereka, buatlah apa yang kamu nak buat kerana malu sudah hilang dalam diri kamu maka Rasulullah saw mengancam mereka yang sudah hilang sifat malu kerana hilangnya sifat malu akan membawa kerosakan kepada diri serta masyarakat. Samada mereka sedari atau tidak, tindakan mereka ini hanya menyiarkan kerosakan dalam masyarakat. Kerana kedengkian, mereka mahu melihat kerosakan ini berlaku dalam masyarakat Islam pula.

Maka dengan itu apa yang dimaksudkan oleh ulama fiqh dengan batasan aurat itu adalah merujuk kepada anggota-anggota tertentu yang tidak boleh dilihat dan disentuh ini termasuk selain daripada kemaluan seluruh tubuh badan selain tapak tangan dan muka bagi sebahagian pendapat dan seluruh tubuh badan bagi sebahagian pendapat yang lain.

Hadis Wanita Adalah Aurat Dan Penemuan Saintifik.

Sehingga setakat ini sekurang-kurangnya kita dapat menangkap maksud hadis berkenaan “wanita itu aurat”. Hadis ini terdapat dalam Sunan Tarmidzi dengan lafaz:

عن النَّبيِّ صلَّى اللَّهُ عَليهِ وسلَّم قال: "المرأةُ عورةٌ، فإذا خرجتِ استشرفَهَا الشَّيطانُ".

Imam Tarmidzi rhm menyatakan hadis ini Hasan Sahih Gharib. Syeikh Nasaruddin Albani rhm mensahihkan hadis ini didalam kitabnya Silisilah ِAl-Ahadith As-Sahihah hadis No.2688.

Didalam kitab Tuhfah al-Ahwadzi li Syarh Jami' at-Tirmizi oleh Syeikh Al-Mubarakfuri , kalimat المرأةُ عورةٌ membawa maksud dijadikan wanita itu diri mereka aurat. Hakikatnya, Allah Ta'ala menjadikan wanita itu suatu tarikan buat lelaki sebagaimana firman Allah Ta'ala dalam Surah Al-Imran:14:
زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاء
"Dihiasi manusia menyintai syahwat daripada kalangan perempuan....."
Hadis ini bertepatan dengan apa yang diselidiki oleh ahli sains barat tentang biologi dari sudut seksual. Untuk memudahkan pemahaman ini saya sertakan video Science of Sex Appeal: Biological of Sex Appeal.


Maaf ! Audio kurang jelas kerana bukan rakaman asli. Video ini mengandungi banyak siri, dan yang ini adalah intro. Untuk mengkaji lebih detail sila ke laman berikut Howstuffworks: Science of Sex Appeal Video . Terdapat beberapa siri kajian tentang penemuan saintifik ini.
Ringkasnya, video tersebut menerangkan tentang pembuktian sains tentang seksual yang berkaitan dengan kepentingan biologi. Menurut kajian, wanita memainkan peranan utama dalam kehiduapan seksual kerana biologi wanita lebih kompleks daripada lelaki. Lelaki telah dijadikan secara biologi bertindakbalas terhadap wanita melalui mukanya, bentuk dan lenggang badannya, baunya dan suaranya. Ini berlaku secara genetik dan diluar kawalan manusia kerana matlamat seksual adalah kelangsungan hidup. Ini adalah kajian sekular barat, pastinya semuanya itu tidak dikaitkan dengan agama.
Bagi kita orang yang beriman yang mempunyai al-Kitab sebagai petunjuk sudah tentu menyakini hal ini adalah semuanya sunnatullah, bahkan Al-Quran telah memberi keterangan secara mujmal tentang hal ini.

Tidakkah kajian ini menunjukkan wanita itu aurat ? Video ini merupakan bukti segala yang ditemui oleh sains masa kini khususnya dalam aspek sains seksual sebenarnya telah diketahui dalam Islam dan Islam telah meletakkan beberapa peraturan dalam kehidupan seksual manusia demi kebaikan atau kemaslahatan mereka sendiri. Namun barat masih tercari-cari penyelesaian masalah keruntuhan sosial akibat daripada salah laku seksual. Mereka yang keluar daripada ajaran Islam pula mengkritik aturan-aturan Islam malah ada segolongan umat Islam sendiri terikut-ikut dengan rentak ini.

Kesimpulannya, sememangnya wanita itu aurat yang perlu dijaga, kerana ia adalah manusia yang mempunyai nilainya disisi lelaki. Menjaga aurat mereka adalah seumpama menjaga aurat lelaki, kerana aibnya wanita menjadikan aibnya lelaki. Keseluruhan tubuh wanita mempunyai harganya yang tidak ternilai yang wajib dihormati oleh setiap lelaki. Begitu sekali penghormatan Islam dalam menjaga wanitanya dan meletakkan mereka dalam takrifan aurat. Bukan seperti golongan yang tiada maruah dan melihat wanita seumpama barang yang tidak ada nilai boleh dilihat dan disentuh mana-mana bahagian tubuhnya kecuali kemaluan. Dilihat dan disentuh oleh sesiapapun daripada kalangan lelaki. Apakah itu satu bentuk perbuatan memuliakan wanita ?

Jika ya....maka nantilah keputusan dari Tuhanmu, Allah 'Azza wa Jal.

Comments

Popular posts from this blog

Tasrif (تصريف): Pengenalan

Mengenal Kata Nama الأسم

Tanda Al-Ismu:"ا ل" dan التنوين