Kenali Ulama: Al-Khatib Al-Baghdadi.

Nama sebenarnya, Abu Bakr Ahmad bin Ali bin Thabit bin Ahmad bin Mahdi As-Syafi’e. Beliau dilahirkan pada 24 Jamadil Akhir 392 Hijrah bersamaan 10 May 1002 Masihi di sebuah tempat, Ghaziyah, Selatan Baghdad. Dikenali dengan nama Al-Khatib Al-Baghdadi ( الخطيب البغدادي‎( bermaksud, Pengkhutbah Baghdad. Baghdad ketika itu merupakan ibukota pemerintahan Bani Abbasiyyah dan beliau hidup pada zaman pemerintahan dua khalifah iaitu Al-Qadir dan Al-Qa’im.


Al-Khatib Al-Baghdadi adalah seorang ulama ahli sunnah , seorang ahli sejarah, seorang imam yang tiada tara di zamannya, seorang ulama hadis yang meneliti dan menjaga hadis, seorang mufti dan penulis. Minat utamanya lebih menjurus kepada bidang hadis dan sejarah. Beliau mengadakan perjalanan pertama kalinya ke Baghdad kemudian ke Naisabur untuk mendengar dan mengumpul hadis kemudian kembali ke Baghdad. Selepas itu beliau mengadakan perjalanan ke Isfahan, Ray, Dinawar, dan Hamadhan kemudian kembali ke Baghdad. Beliau amat rapat dengan menteri kepada Al-Qa’im iaitu Ibnu Muslima bergelar Ra’is ar-Ru’asa dan mendapat jaminan daripadanya dalam menyampaikan hadis sekitar Baghdad. Sehinggalah berlaku huru-hara dimasa akhir pemerintahan Al-Qa’im beliau berhijrah ke Syam dan Mekah, kemudian Damaskus sampai 459H, kemudian Tirus (Sur) hingga 462H, lalu pulang ke Baghdad. Kemudian beliau jatuh sakit yang akhirnya membawa kepada kewafatannya pada tahun 1071 Masihi bersamaan 463 Hijrah. Semoga Allah merahmatinya dan meluaskan tempatnya disyurga.

Imam Ad-Dzahabi menyatakan apabila seseorang mahu menyampaikan sunnah kebiasaannya terlebih dahulu berjumpa Al-Khatib Al-Baghdadi rhm untuk menilai sunnah tersebut sebelum disampaikan kepada masyarakat awam dalam ceramah dan dakwah. Beliau dipuji oleh Imam Ad-Dzahabi sebagai seorang imam yang tiada tandingnya, ulama yang cemerlang, seorang mufti, ulama peneliti hadis, syeikhul hadis pada zamannya, penulis dan penjaga hadis. Al-Qinnawji rhm, mengatakan beliau adalah seorang hakim yang lebih menjurus kepada hadis dan sejarah.

Menurut anak muridnya Ibn ‘Aqil rhm seorang syeikhul hadis bermazhab Hanbali, Al-Khatib telah meninggalkan banyak tulisan berkenaan kajian hadis dan tidak diragui ketokohannya dalam hadis ketika zamannya. Beliau telah mendengar tidak terkira banyaknya hadis daripada syeikhul-syeikhul hadis, antaranya Abu Bakar Al-Barqani, Abu Nu’aim Al-Asbahani, Al-‘Abdawi dan seorang sufi wanita Karima Bt Ahmad bin Muhammad Al-Mawarziyya salah seorang anak murid Al-Kushmihani yang mana Al-Khatib mengambil hadis Sahih Bukhari selama 5 hari penghijrahannya ketika umur 52 tahun. Beliau juga mengambil fiqh Syafi’e daripada Abu al-Hasan ibn al-Mahamili dan seorang kadhi Abu al-Tayyib al-Tabari. Antara anak muridnya yang terkenal ialah al-Nasr al-Maqdisi, Ibn Makula, al-Humaydi, Abu Mansur al-Shaybani (yang menyampaikan kitabnya Tarikh Baghdad )dan Abu Ya‘la Al-Hanbali.

Ibnu Makula dan Al-Mu’taman Al-Saji menyatakan orang-orang Baghdad tidak pernah melihat seseorang seperti Al-Khatib setelah Ad-Daraquthni. Abu Ishak Al-Isfarayini berkata: “Al-Khatib adalah “Ad-Daraquthni” zaman kita”. Sa’id Al-Muaddib pernah bertanya Al-Khatib: “ Kamu syeikhul hadis, Abu Bakr ?” Beliau menjawab: “ Aku Ahmad bin Ali, syeikhul dalam hadis telah berakhir dengan Ad-Daraquthni”

Tentang penguasaan hadis, Al-Khatib menulis:

“Dia tidak dapat menguasai ilmu hadis dan tidak dapat mengenali kerumitannya dan menjelaskan manafaat yang tersembunyi melainkan dia mengumpulkan kepelbagaiannya terlebih dahulu, menyusun atur , membawa kesemuanya bersama dan tekun melakukan kompilasi dalam subtopik yang berbeza. Pekerjaan seperti ini boleh memberi kekuatan daya saingan, mengukuhkan ingatan, memurnikan hati, membentuk keperibadian, membebaskan lidah, sangat meningkatkan kemahiran bahasa, menghilangkan kecelaruan dan menjelaskan kedudukannya. Ia juga mampu untuk kekal mengingati; sebagai kata penyair :
Sesetengah orang mati tetapi pengetahuan ingatan mereka terus hidup,
Sementara kebodohan bergabung dengan kematian dengan orang mati.


Abdul Aziz bin Ahmad Al-Kattani telah berkata: “Al-Khatib telah mengikuti akidah madrasah Abul Hasan Asy’ari rhm.” Imam Ad-Dzahabi melaporkan hal ini dan mengatakan “ Ini adalah benar kerana Al-Khatib sendiri menjelaskan berkenaan dengan sifat-sifat Allah, bahawa ia disampaikan tepat sebagaimana ianya diterima tanpa takwil.”

Berkenaan kedudukan pegangannya, Abu Bakr Al-Khatib pernah berkata:

“Berkenaan dengan sifat-sifat Allah Ta’ala, apa-apapun yang diriwayatkan dalam buku berkenaan hal sedemikian, pegangan salaf terkandung dalam ketegasan mereka iaitu menyerahkan maksud pada lafaznya yang zahir dan mengelak daripada memikirkan bagaimana dan mengumpamakannya dengan makhluk. Prinsip yang perlu diikuti dalam hal ini adalah perbincangan tentang sifat-sifat adalah cabang perbincangan tentang Zat. Jalan yang perlu dikuti sebelumnya adalah amat sama kehatiannya sebagaimana yang terkemudian. Apabila ianya difahami bahawa ketegasan Allah Tala tentang zatnya adalah ketegasan tentang kewujudan dan bukan bagaimana wujud, ianya juga sama difahami bahawa ketegasan tentang sifat-sifat-Nya adalah ketegasan tentang kewujudan sifat-sifat tersebut, bukannya ketegasan tentang definisi, bukan juga bagaimana keterangannya. Jadi apabila kita kata: Allah ada tangan, boleh mendengar, dan melihat itu semua bukanlah sesuatu yang lain melainkan sifat-sifat Allah yang Dia tegaskan tentang diri-Nya sendiri. Kita sepatutnya tidak mengatakan maksud “tangan” adalah kuasa (al-qudra), tidak juga pada makna mendengar dan melihat sebagai ilmu, tidak juga seharusnya kita mengatakan bahawa ianya adalah anggota ! Tidak juga sepatutnya kita menyamakannnya dengan tangan, pendengaran, dan pengelihatan itu adalah anggota dan merupakan kesan daripada perbuatan. Kita sepatutnya mengatakan: Semuanya itu wajib bagi menegaskan sifat-sifat-Nya kerana itu disebut menurut keterangan Allah Ta’ala, dan mengelakkan dari menyerupai sifat-sifat-Nya dengan makhluk menurut kata-Nya (“Tiada yang seumpama-Nya sesuatupun”-42:11) dan (“Dan tiada satupun yang sama tara dengan-Nya”-112:4 )”

Abu al-Faraj al-Isfarayini berkata: “Al-Khatib telah bersama kami ketika haji, dan dia sentiasa mengadakan pembacaan Al-Qur’an bersama setiap hari. Orang-orang akan berkumpul kelilingnya ketika dia sedang duduk, dan berkata: “ Riwayatkan hadis kepada kami, ‘ dan dia riwayatkan kepada mereka.” Abdul al-Muhsin al-Salihi berkata: “ Aku dulu adalah teman perjalanan Al-Khatib daripada Damaskus ke Baghdad, dan dia sentiasa membaca keseluruhan Al-Quran sekali setiap siang dan malam.”
Ibn Al-Abanusi melaporkan bahawa Al-Khatib biasanya membaca ketika sedang berjalan. Ini adalah sikap yang biasa ada pada syeikhul hadis.

Al-Khatib menulis muqaddimah di dalam kitabnya Tarikh Baghdad khusus buat Isma’il ibn Ahmad An-Naisyaburi Ad-Darir: “ Dia pergi hijrah dan meriwayatkan hadis, dan betapa hebatnya syeikh! Apabila dia pergi haji dia mengambil bersamanya banyak kitab, dengan tujuan untuk menetap di Mekah atau Madinah untuk sementara waktu. Antara kitab itu adalah Sahih Bukkhari yang mana dia pernah mendengarnya daripada Al-Kushmihani. Aku membaca kesemuanya di hadapannya dalam tiga majlis. Sesi yang ketiga berakhir dari permualaan siang hingga malam, dan menghabisinya ketika menjelang subuh.” Komentar Ad-Dzahabi: “Demi Allah, ini adalah kaedah pembacaan yang terpantas dari apa yang pernah seseorang dengari”.

Abu Al-Qasim ibn Al-Muslima, menteri al-Qa’im seorang ulama hadis, memberi jaminan kepada Al-Khatib sehingga kemudiannya membolehkan dia menumpukan dirinya kepada mengajar dan menulis. Dia mengarahkan bahawa tiada guru atau pendakwah dalam Baghdad meriwayatkan hadis tanpa mendapat penilaian sahih dengan al-Kahtib terlebih dahulu. Dia pernah ditanya kemudiannya, untuk meneliti sebuah dokumen yang mana sebahagian orang Yahudi mengeluarkan dakwaan bahawa ia adalah berkenaan pengecualian cukai oleh Rasulullah saw ke atas orang-orang kafir (jizyah) yang ditulis oleh Yahudi Khaibar, mereka mengatakan, ianya berada di tangan Ali bin Abi Thalib kwj. Al-Khatib melihat dan meneliti dokumen tersebut kemudiannya mengumumkan ia sebenarnya adalah ciptaan dengan alasan ianya disaksikan oleh Mu’awiyyah ra sedangkan Muawiyah ra yang masuk Islam pada tahun pembukaan Mekah, sedangkan Khaibar ditawan pada tahun ke 7 dan Sa’id ibn Mua’dz yang wafat ketika perang Bani Quraizah, 2 tahun sebelum Khaibar.

Al-Khatib berada di Damaskus, kemudian pergi ke Baghdad dalam bulan Safar 451H, ketika itu berlaku ancaman semasa pemberontakan Bassiri (451H) yang dalam cubaan menjatuhkan Al-Qaim dan juga khalifah Abbasiyah, walaupun Damaskus sendiri ketika itu berada dibawah pemerintahan Fatimiyah, dia kemudiannya pergi ke Damaskus sekali lagi dalam tahun 459H terus ke Tyre sehingga 462H, setelah itu pulang ke Baghdad, melawati Syrian Tripoli, Aleppo dan semua bandar-bandar utama dalam perjalanannya. Ibnu Nasir meriwayatkan: “ Apabila Al-Khatib membaca hadis di dalam masjid Damaskus, suaranya boleh di dengari dari ruang akhir masjid hingga ke ruang lainnya dan dia bercakap dalam bahasa Arab tulin”. Dia juga dikenal dengan ketepatan dan kecantikan tulisan tangan.

Dia pergi dari Damaskus ke Tyre kerana ancaman kerajaan Rafidi Damaskus dan tuduhan bahawa beliau adalah Nasibi atau musuh kepada Ahl al-Bayt akibat meriwayatkan kitab Ahmad bin Hanbal tentang keutamaan sahabat dan buku Ibnu Rizquyah tentang keutamaan Al-Abbas. Ketika itu azan solat di Damaskud menyertakan sekali lafaz hayya ‘ala khayri al’amal.

Abu Mansur Ali bin Ali Al-Amin meriwayatkan bahawa ketika Al-Khatib kembali dari Syam dia memiliki banyak jubah dan emas tapi tiada mempunyai waris. Jadi dia menulis kepada Al-Qaim: “ Harta aku akan disalurkan ke baytul mal nanti, jadi berikan aku kebenaran untuk mengagihkannya kepada mereka yang aku pilih.” Dia kemudianya mengagihkannya 200 dinar kepada ulama hadis.

Abu al-Barakat Ismail bin Abi Sa’d al-Sufi berkata:

"Syeikh Abu Bakar Ahmad bin Ali al-Turaithithi, dikenali sebagai Ibn Zahra’ al-Sufi, ketika itu berada dalam ribat kami dan telah menyediakan untuk dirinya kubur bersebelahan kubur Bishr al-Hafi’. Dia sentiasa ke sana sekali seminggu untuk tidur di dalamnya, dan membaca Al-Quran. Apabila Abu Bakar Al-Khatib wafat setelah dia menuntut bahawa jasadnya hendaklah dikebumikan bersebelahan Bishr Al-Hafi, ulama-ulama hadis telah datang kepada Ibn Zahra’ meminta kebenarannya untuk mengebumikan jasad Al-Khatib ke dalam kubur yang dibuat oleh Ibn Zahra dan akan menggantikannya untuk dia. Dia menolak dan mengatakan: “Bagaimana boleh aku membenarkan ruang yang telah aku sediakan untuk diri aku untuk diambil daripada aku ?” Mereka datang kepada ayah aku Abu Sa’id al-Sufi yang kemudiannya menjemput Ibn Zahra’ dan memberitahunya: “Aku tidak meminta kepada kamu untuk memberikan kubur kamu kepada mereka, tetapi aku ingin bertanya kamu: jika Bishr al-Hafi hidup dan kamu berada disisinya, kemudian datang al-Khatib dan duduk jauh sekali darinya, adakah kamu rasakan sesuai untuk kamu menduduki lebih tinggi daripad dia ?” Dia menjawab: “Tidak, aku akan mendudukannya ditempat aku.” Dia berkata: “Begitu juga dalam keadaan seperti ini’. Hati Ibn Zahra begitu gembira dengan hal ini dan dia lantas memberikan kebenarannya.

Al-Khatib adalah seorang yang menumpukan seluruh kehidupannya, mengabadikannya dalam dunia ilmu, seorang syeikhul hadis yang dipercayai, sikapnya dalam pencarian, tiada penat lelah dan cemerlang dalam kerjanya. Dia menulis 10,000 muka surat menjadikan jumlahnya 104 buah kitab, kebanyakannya ditinggalkan kepada kita sebagai panduan yang berkualiti dalam kajian hadis, terutama dalam pemerhatian dan keterbukaan. Ibn Hajar mengatakan dalam pengenalannya kepada Sharh Nukhba al-Fikar: “ Begitu sukar untuk mendapatkan satu ilmu antara ilmu kajian hadis dimana al-Khatib tidak melakarkanya”. Kemudian dia membaca pujian syeikh hadis Ibnu Nuqta: “Sesiapa yang berterimakasih di mana ucapan terimakasih itu kepada ulama hadis yang diketahui, setelah al-Khatib, semuanya itu sebenarnya bergantung pada kitabnya’.

Antara kitabnya:

• Al-Amali - dimana tiga jilid berada dalam simpanan Zahiriyyah
• Al-Asma’ Al-Mubhama – kitab mengenalpasti mereka yang disebut secara majul dalam hadis atau rantaian hadis.
• Al-Bukhala tiga jilid
• Al-Faqih wal Mutafaqqih
• Al-Fasli al-Wasl al-Mudraj fi al-Naql
• Iqtida’ al-‘Ilm al-‘Amal
• Al-Jahr bi Bismillah al-Rahman al-Rahim- sebagaimana al-Daraquthni lakukan dalam kitab Sunannya membuktikan tulisan madrasah Syafi’e dalam amalan ini. Ibnu al-Jawzi dalam al-Sahm al-Musib menjelaskan bahawa semua hadis yang diutarakan oleh Al-Khatib dalam Al-Jahr – sebagaiman kes Daraquthni yang membuktikan untuk basmala dalam Sunannya – samada dhaif atau tersangat dhaif. Ad-Dzahabi juga menulis kritikan terhadap kitab Al-Khatib, begitu juga Hanbali Muhammad ibn Ahmad ibn Abdl Hadi.
• Al-Jami‘ li Akhlaq al-Rawi wa Adab al-Sami‘ – sambungan daripada Sharaf Ashab al-Hadis.
• Al-Khayl
• Al-Kifaya fi ‘Ilm al-Riwaya
• Manaqib Ahmad ibn Hanbal
• Manaqib al-Shafi‘i
• Al-Mudih li al-Jam‘ wa al-Tafriq
• Musnad Abi Bakr al-Siddiq ‘ala Shart al-Sahihayn
• Al-Muttafaq wa al-Muftaraq
• Nasiha Ahl al-Hadith
• Al-Qunut wa al-Athar al-Marwiyya Fih
• Al-Rihla fi Talab al-Hadith
• Riwaya al-Sahaba ‘an al-Tabi‘i
• Al-Sabiq wa al-Lahiq
• Salat al-Tasbih wa al-Ikhtilaf Fiha
• Sharaf Ashab al-Hadith
• Al-Tabyin li Asma’ al-Mudallisin
• Taqyid al-‘Ilm
• Al-Tatfil wa Hikayat al-Tufayliyyin
• Tali Talkhis al-Mutashabih,
• Talkhis al-Mutashabih fi al-Rasm
• Tarikh Baghdad – ini adalah hasilkerjanya yang terpenting, ianya lebih khusus rujukan kerja dalam kesahihan perawi (‘ilm ar-rijal) dan tersangat bernilai mengandungi 4,383 riwayat hadis yang rantaiannya penuh, hampir separuh daripadanya 2,253 tidak ditemui dalam dua kitab Sahih dan 4 kitab Sunan. Ini bermakna kedudukan Al-Khatib sebagai periwayat berasingan adalah standing dengan Al-Baihaqi rhm, Ibn Abdul Barr rhm dan Ibn Asakir rhm.

Demikianlah kedudukan Al-Khatib Al-Baghdadi sebagai ulama ahli sunnah sebagaima yang diceritakan oleh ramai para ulama setelahnya. Sehingga hari ini, nama Al-Khatib Al-Baghdadi masih diungkapkan dalam mana-mana kitab tulisan ulama kini dan merupakan rujukan yang terpenting dalam disiplin hadis.

Semoga Allah Ta’ala mencucuri rahmat atasnya.

Wassalam.

Comments

Post a Comment

Pandangan Anda ?

Popular posts from this blog

Tasrif (تصريف): Pengenalan

Mengenal Kata Nama الأسم

Tanda Al-Ismu:"ا ل" dan التنوين