Sejarah Perkembangan Takwim Hijrah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh;

Amma ba'd, sekarang kita berada dalam bulan 23 Zulhijjah 1430, menandakan kita berada di penghujung tahun Hijrah 1430 dan menyusul tahun 1431, genaplah usia penghijrahan umat Islam Mekah ke Madinah selama 1431 tahun yang lalu. Sempena tibanya tahun baru dalam Islam mengikut kiraan tahun qamariyah di sini saya ketengahkan sejarah perkembangan takwim hijrah sebagai pengetahuan buat diri saya dan juga pengunjung blog saya samada yang sengaja datang mengunjung atau yang tersesat.

Takwim Hijrah ialah kalendar yang berdasarkan bulan qamari dan disebut juga takwim atau kalendar Islam. Ia mengandungi 12 bulan iaitu Muharam,Safar, Rabiulawal, Rabiulakhir, Jamadilawal, Jamadilakhir, Rejab, Syaaban, Ramadan, Syawal, Zulkaedah dan Zulhijah.

Dikatakan bahawa orang yang mula-mula menamakan bulan-bulan ini ialah Ka'b ibn Murrah, datuk kelima Rasullullah S.A.W. OrangArab menamakan lima bulan dengan nama musim walaupun nama itu tidak lagi tepat sebagaimana yang kita alami sekarang. Contohnya Ramadhan yang berasal daripada al-Ra m a d a ' bermaksud sangat panas, tidak selalunya jatuh pada musim panas. Begitu juga dua Jamad(Jamadilula/Jamadilawal dan Jamadilakhir) tidak selalunya jatuh pada musim sejuk walaupun Ja m a d bermaksud beku. Muharam pula dinamakan demikian kerana ia merupakan salah satu bulan yang diharamkan berperang dan Safar pula ertinya kosong, kerana isi negeri menjadi kosong disebabkan penduduknya keluar berperang selepas Muharam. Rabiulawal dan Rabiulakhir dinamakan demikian kerana kedua-duanya jatuh pada musim bunga (Rabi') waktu nama tersebut diberikan. Rejab pula ertinya bulan yang dihormati, kerana mereka menghormatinya dengan meninggalkan peperangan,oleh itu ia termasuk di dalam salah satu bulan haram. Syaaban (bercabang) pula mendapat namanya kerana kabilah-kabilah Arab berpecah dan bercabang untuk berperang setelah duduk diam pada bulan Rejab. Dinamakan bulan Syawal kerana pada bulan itu unta mengangkat ekornya kerana hendak mengawan, berasal daripada akar kata sy ala (meng angkat). Zulkaedah ertinya duduk, iaitu bulan yang mereka duduk di rumah tanpa peperangan. Zulhijjah pula diambil namanya daripada perkataan hajj (bulan Haji).

Orang Arab menganggap permulaan hari ialah selepas jatuh matahari dan berterusan sehingga jatuh matahari berikutnya, oleh itu malam mendahului siang. Tetapi hari menurut syarak yang diberi definisi oleh fuqaha' dimulai dengan terbit fajar sadiq sehingga jatuh matahari. Pada zaman sekarang menurut orang Eropah, hari dimulai pada tengah malam dan berterusan sehingga tengah malam berikutnya. Orang Arab sebelum Islam menggunakan tahun Qamariyah sejak zaman dahulu. Walau bagaimanapun mereka hanya merekodkan peristiwa-peristiwa penting yang berlaku pada masa tersebut. Umpamanya ialah tarikh pembinaan Kaabah pada zaman Nabi Ibrahim dan Isma'il a.s. pada tahun 1855 S.M. dan tahun Gajah iaitu tahun yang paling masyhur bersamaan dengan tahun 571 M.

Namun sejarah yang dicatatkan tidak mengikut kaedah yang tetap di kalangan seluruh bangsa Arab, mereka menulis mengikut cara masing-masing, iaitu mengikut perbezaan tempat tinggal,sama ada di utara atau di selatan,bahkan perbezaan menulis tarikh juga berbeza dengan adanya perbezaan qabilah. Oleh itu takwim qamari pada zaman jahiliyah bukanlah takwim yang boleh dipegang teguh untuk digunakan di dalam kehidupan manusia.

Selepas berdirinya negara Islam pada zaman Rasullullah S.A.W., tahun Qamariyah masih diteruskan tetapi tidak ditetapkan tahun-tahunnya.Oleh itu kaum muslimin memberi nama tahun-tahun itu dengan nama peristiwa besar yang terjadi di dalamnya. Antaranya ialah tahun pertama (Tahun al-Izn) iaitu izin hijrah dari Makkah ke Madinah, tahun kedua (Tahun al-Amr) iaitu tahun diperintahkan memerangi kaum musyrikin dan akhirnya tahun kesepuluh yang dikenali sebagai tahun a l - Wa d a ' iaitu tahun haji al-Wada' atau haji terakhir yang dilakukan oleh Nabi Muhammad S.A.W.

Peristiwa semasa pemerintahan khalifah 'Umar bin al-Khattab merupakan titik tolak perubahan takwim hijrah dimana khalifah 'Umar telah mengumpulkan beberapa orang sahabat pada hari Rabu 20 Jamadilakhir tahun 17 Hijrah bagi menentukan tarikh yang patut diambil sebagai permulaan tahun Islam. Dalam perbincangan tersebut pendapat'Ali ibn Abi Talib diterima dengan mengemukakan cadangan supaya menjadikan Hijrah Nabi Muhammad S.A.W. dari Makkah ke Madinah sebagai permulaan tahun Islam dan mereka juga bersetuju dengan pandangan Uthman menjadikan Muharam sebagai bulan pertama dalam sejarah Islam. Awal Muharam tahun berlakunya hijrah Nabi Muhammad s.a.w. diambil sebagai permulaan tarikh Islam sekalipun hijrah tidak bermula dan berakhir pada hari itu, kerana sebenarnya hijrah bermula pada akhir bulan Safar dan Baginda sampai ke pinggir Madinah pada hari Isnin Rabiulawal,kemudian masuk ke Madinah pada hari Jumaat 12 Rabiulawal.

Perbezaan jarak antara tahun Hijrah dengan tahun Masihi ialah 622 tahun,tetapi arak perbezaan ini semakin berkurangan sedikit demi sedikit. Ini kerana setahun Hijrah qamariyah mengandungi 354 hari, 8 jam, 48 minit, dan 36 saat, sedangkan setahun Masihi shamsiyah mengandungi 365 hari,6 jam,9 minit dan 9.5 saat dan perbezaan keduanya ialah 10, 11 atau 12 hari dalam setahun, iaitu terpulang sama ada salah satu atau kedua-duanya merupakan tahun kabisah.

Dengan kiraan ini jelaslah bahawa setiap 33 tahun Hijriyah lebih kurang sama dengan 32 tahun Masihi. Oleh itu tahun Hijrah dan tahun Masihi akan bertemu atau sama harinya pada setiap lebih kurang 33 tahun sekali.Untuk mengetahui tahun Hijrah pada tarikh tahun Masihi yang diketahui, kita hendaklah menolak 622 daripada tahun Masihi itu kerana tahun Hijrah bermula pada tahun 622 Masihi, iaitu pada hari Jumaat 16 Julai. Baki yang tinggal selepas itu ialah tahun Masihi yang telah berjalan sejak tahun Hijrah, kemudian kita darab dengan 33 dan natijahnya dibahagi pula dengan 32,kerana setiap 33 tahun Hijrah lebih kurang sama dengan 32 tahun Masihi. Contohnya seperti berikut:

(1980-622)/32 x33 = 1400H

Apabila kita hendak mengetahui tahun Masihi yang bersamaan dengan tahun Hijrah yang kita telah ketahui, kita darab tahun Hijrah dengan 32 dan natijahnya dibahagi dengan 33 kemudian ditambah dengan 622. Contoh seperti berikut:

(1100x32/33) + 622 = 1688M

Untuk mengetahui secara lebih lanjut berkaitan sejarah penentuan takwim hijrah, nama saat, hari dan bulan dalam Islam, para pembaca bolehlah merujuk Ensiklopedia Dunia Jilid 21 bagi artikel yang berkaitan dengan Takwim Hijrah.

TEROKAI E K S I K LO P E D I A DUNIA SIRI KESEPULUH

Sumber: http://www.dbp.gov.my/klikdbp/klikdbp5jan7.pdf

Comments

Popular posts from this blog

Tasrif (تصريف): Pengenalan

Mengenal Kata Nama الأسم

Tanda Al-Ismu:"ا ل" dan التنوين