Tanda Al-Ismu: Baris Bawah

Kita telah mengetahui "ال" dan "التنوين" sebagai tanda untuk mengenali al-ismu. Kali ini, kita masuk tanda yang ke 2 dari tanda-tanda mengenali al-ismu.

Tanda yang  ke 2 bagi al-ismu ialah huruf terakhirnya berbaris bawah. Baris bawah dalam Bahasa Arab ialah "kasrah" ejaan Arabnya كَسْرَة. Jika baris dua di bawah atau التنوين disebut "kasrataani" , ejaan Arabnya كَسْرَتَانِ.

Jika kita jumpa perkataan yang diakhir hurufnya dibaca kasrah, itu adalah al-ismu. Jangan ragu-ragu ianya adalah al-ismu. Jika terdapat dua tanda sekaligus dalam satu perkataan seperti "ال" dan kasrah, ia menguatkan lagi bahawa perkataan itu adalah al-ismu. 

Contoh;

(1)    الكتابِ......
(2)  كتابٍ ......

Perhatikan huruf yang berwarna merah  pada contoh (1), terdapat dua tanda yang menunjukkan perkataan di atas adalah al-ismu iaitu "ال" dan kasrah. Pada contoh (2), apabila "ال" dihilangkan, baris bawahnya berubah menjadi التنوين atau kasrataani.

Masih berkaitan dengan contoh di atas, sebelum dari perkataan tersebut di atas, saya sengaja meletakkan tanda (......), dan ada maksudnya yang hendak saya sampaikan. 


Jarr dan Majrur - جر و مجرور


Setiap perkataan yang berbaris bawah huruf akhir sebenarnya ada penyebab yang menyebabkan akhirannya berbaris bawah atau kasrah. Penyebab yang membaris bawahkan huruf akhir ini kita namakan sebagai al-jarru, ejaan Arabnya الجرُّ.

Ingat kaedah ini, Al-Jarr akan membaris bawahkan setiap perkataan sesudahnya

Perkataan sesudahnya itu adalah al-ismu, kerana al-jarr hanya mengenal al-ismu. Maka dengan kaedah ini dapat diketahui bahawa al-ismu dapat dikenali dengan melihat perkataan sebelumnya.

Al-ismu sesudah al-jarr akan mendapat namanya yang baru iaitu Ismu al-majrur, ejaan Arabnya إسم المجرور. Saya terjemahkan sebagai Kata Nama Berbaris Bawah.

Kita ambil satu contoh;


 أذهب + إلى+ مدرسةٍ
ِAku hendak pergi + ke + sekolah.

Perhatikan kalimat yang berwarna merah, إلى مدرسةٍ diterjemahkan sebagai "ke sekolah". Perkataan إلى itu adalah huruf al-jarr dan perkataan مدرسةٍ adalah ismu al-majrur.
.


Perkataan إلى adalah golongan kata tugas sebagaimana saya pernah sebut di entri Bahasa Arab Pembahagian Kata, dalam bahasa arab disebut harfun -الحَرْفُ. Kata tugas atau harfun ini dinamakan sebagai harfu al-jarr - حرف الجر

Harfu al-jarr terdiri dari huruf-huruf berikut; ِب - dengan, مِنْ - dari, عَلى - di atas, ِل - milik, في - di, ك - seperti, رُبَّ - betapa, عَنْ - dari, dan akhirnya إلى - ke.
.
Selain dari  huruf-huruf al-jarr di atas,  terdapat lagi beberapa penyebab kepada al-ismu berbaris bawah. Saya akan sebutkan di sini dua asas:
  1.  Harfu al-Qasm, ejaan Arabnya, حرف القسم. Huruf al-qasm ialah huruf-huruf yang digunakan untuk bersumpah iaitu و, ت, dan ب.  Kebiasaan kita katakan "demi". Contohnya: واللهِ,  Demi Allah.
  2. Al-Idhaafah, ejaan Arabnya الإضَافَةُ. Dalam bahasa, saya terjemahkan sebagai gabungan dua kata nama. Dalam Al-idhaafah, al-ismu yang pertama berfungsi sebagai al-jarr dan menyebabkan al-ismu yang kedua berbaris bawah.                           Contoh; كِتَابُ التِّلْمِيذِ - buku (milik) pelajar. 
Sebenarnya ada lagi faktor-faktor lain yang menyebabkan al-ismu menjadi majrur (berbaris bawah) dan faktor tersebut sekadar mengikut kaedah asas di atas. Suatu masa nanti kita akan membincangkannya secara khusus pada tempatnya. 

Cukup kita mengetahui bahawa tanda al-ismu itu ialah akhir hurufnya berbaris bawah atau kasrah. Kata kunci di sini ialah perkataan yang berbaris bawah ialah al-Ismu. 

Lagi sedikit berkenaan tanda baris bawah, secara asasnya baris bawah atau kasrah atau kasrataani (baris dua di bawah) ditanda dengan simbol "berbaris bawah"  (اِ). Bagaimanapun, ada dua keadaan yang menyebabkan baris bawah ditanda dengan simbol lain dan tidak dibaca kasrah.

Baris Bawah Dalam Bentuk Lain.

1) Baris bawah tapi bentuk baris atas atau fathah, bahasa Arab -فتحة. simbol (اَ). Walapun perkataan tersebut berbaris atas tetapi dalam keadaan majrur namun ia tetap al-ismu kerana ia adalah al-ismu yang tidak menerima perubahan baris bawah, dalam ilmu nahu dikenali dengan nama al-ismu al-ladzi laa yansharif, ejaan Arabnya الإسم الذي لا ينصرف.

Kebiasaannya ialah kata nama khas bagi sesuatu seperti nama orang, nama bandar, nama yang menggunakan acuan kata tertentu, nama yang diakhiri dengan aliff nun, jumlah bilangan dan sebagainya. Inshaa Allah kita akan pelajari al-ismu ini secara lebih detail.

Sebagai contoh;
إلى فرعونَ

2) Baris bawah tapi dalam bentuk huruf "ي" dan "َيْن" dan "يْنِ", Walaupun dalam bentuk huruf tetapi ia berada dalam keadaan majrur . Al-ismu berada dalam keadaan tersebut kerana kaedah bagi al-ismu muthanna ejaan Arabnya الإسم المثنى - kata nama dual, al-ismu jam'u al-muzakkari al-salimi, ejaan Arabnya الإسم جمع المذكر السالم - kata nama ramai bagi lelaki dan al-ismu al-khamsah

Inshaa Allah saya akan sentuh semua ini dalam babnya masing-masing akan datang. Di sini cuma sekadar penyebutan untuk tidak merumitkan bab mengenali al-Ismu melalui tanda-tandanya dan agar tidak keliru jika kita dapati didalam al-Qur'an ada al-ismu majrur yang tidak berbaris bawah seperti kebiasaan.

Contoh bagi baris bawah dalam bentuk huruf ini;


  • Muthanna- dual, الكتاب لطالبَيْنِ "Kitab itu untuk dua orang pelajar".
  • Jam'u Muzakkar - Bilangan Banyak Lelaki, َالكتاب لطالبِيْن "Kitab itu untuk pelajar-pelajar."
  • Asmaa' al-khamsah - Lima Kata Nama, الكتاب لأخي "Kitab itu untuk saudara."
Sampai di sini untuk pelajaran baris bawah sebagai tanda mengenal al-ismu dari tanda-tanda al-ismu. Kita akan masuk tanda seterusnya dari tanda-tanda mengenal al-ismu pada masa akan datang. Inshaa Allah wa billahi taufiq.

Comments

Popular posts from this blog

Tasrif (تصريف): Pengenalan

Mengenal Kata Nama الأسم

Tanda Al-Ismu:"ا ل" dan التنوين