Perbezaan Pendapat Yang Diharamkan

السلام عليكم

Perbezaan pendapat dalam mengambil sesuatu keputusan adalah lumrah dalam kehidupan manusia termasuk dalam beragama. Walaupun setiap daripada orang lebih memilih kebenaran, tetapi selalunya kita tidak bersetuju antara satu sama lain tentang kebenaran itu dalam keadaan tertentu.

Dalam konteks Islam, perbezaan pendapat tidak ditolak 100% bahkan ada sebahagian daripadanya diberi keluasan oleh Allah Ta'ala sebagai rahmat buat hamba-Nya. Sebahagiannya lagi adalah dilarang berlaku perbezaan pendapat iaitu perkara yang berkaitan dengan perkara ushul atau pokok dalam agama.



Ar-Risalah kitab ushul fiqh yang pertama disusun oleh Al-Imam As-Syafi'e

Imam Syafi'e rahimahullahuta'ala berkata dalam kitabnya Ar-Risalah dalam bab Al-Ikhtilaf:

"Sesungguhnya aku mendapati ahli ilmu samada yang terdahulu dan terkemudian berbeza pendapat dalam sebahagian urusan mereka maka apakah mereka dibenarkan berlaku sedemikian? Aku mengatakan bahawa perbezaan pendapat itu ada dua wajah satu daripadanya adalah dilarang dan yang satu lagi tidak. Perbezaan pendapat yang dilarang itu adalah setiap apa yang telah Allah Ta'ala berikan hujjah di dalam kitab-Nya ataupun melalui lisan nabi-Nya yang dijadikan nas tiada boleh ikhtilaf padanya bagi mereka yang mengetahuinya."

Jelas perkataan Imam Syafi'e rhm di atas, bahawa perkara yang telah ada ketetapannya daripada Allah Ta'ala secara qath'i iaitu pasti di dalam kitab-Nya dan Sunnah Rasul-Nya adalah dilarang berlaku perbezaan pendapat.Firman Allah Ta'ala bermaksud:

"Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata." - Al-Ahzab:36

Perkara yang dibolehkan berbeza pandangan adalah dalam perkara yang dibolehkan berijtihad padanya. Iaitu perkara yang tidak jelas keterangannya atau bersifat mujmal dan yang didiamkan oleh Allah Ta'ala sebagai satu sifat muruunah, boleh lentur, fleksibel dan sesuai sepanjang zaman dengan tetap menjaga maqasyid as-syari'ah.

Bagaimanapun berlakunya perbezaan pandangan dalam masalah ijtihadiyyah ini tertakluk kepada kaedah-kaedah yang telah ditetapkan dalam al-qawa'idul fiqhiyyah. Iaitu perbezaan pendapat yang berlaku  hendaklah melalui penghujjahan yang betul dan tepat dari segi kaedah berhujjah. Dengan kata lain, satu pihak mengeluarkan ijtihad yang berbeza dengan pihak satu lagi tetapi kedua-duanya melalui proses penghujjahan yang benar dengan dalil-dalil nas yang tepat. Khilaf seperti ini adalah khilaf yang dibenarkan dan tidak boleh diingkari pendapat daripada kedua-dua belah pihak dan boleh memilih mana-mana pendapat yang diyakini untuk diamalkan. Inilah dikatakan khilaf mu'tabar atau pendapat yang boleh diikuti. Termasuk dalam masalah ini ialah berkenaan dengan doa qunut subuh, ini adalah khilaf yang mu'tabar dan boleh diikuti daripada mana-mana pendapat yang membenarkannya atau tidak.

Sedangkan jika perbezaan pendapat itu berlaku antara dua belah pihak dengan cara yang tidak mengikuti kaedah ilmiyah melalui penghujjahan yang tidak benar malah bertentangan dengan nas-nas yang sahih maka perbezaan pendapat seperti itu adalah dilarang dan pendapat ini boleh ditolak dan tidak diamalkan dan ditinggalkan. Malah pendapat seperti ini hendaklah diingkari. Inilah yang dikatakan khilaf yang tidak mu'tabar atau pandangan yang tidak boleh diikuti. Termasuk dalam masalah ini ialah berkenaan hukum solat Jum’at – ada di kalangan ulama yang berpendapat bahwa sholat jum’at adalah fardhu kifayah. Pendapat ini menyanggahi nash, karena solat Jum’at wajib dilakukan berdasarkan nash-nash yang jelas dari al-Quran dan sunnah.

Wallahualam

Comments

Popular posts from this blog

Tasrif (تصريف): Pengenalan

Tanda Al-Ismu:"ا ل" dan التنوين

Mengenal Kata Nama الأسم