Muqaddimah Pembelajaran Ushul al-Fiqh.
Inshaa' Allah ! Dalam entri kali dan seterusnya, saya cuba meletakan beberapa siri nota pengajian daurah ushul al-fiqh yang disyarah oleh Ustaz Dzulqarnain hafizahullahuta'ala dari kitab al-Ushul min Ilmi al-Ushul karya ulama besar Arab Saudi, al-'Allamah Syaikh Muhammad bin Saleh al-Uthaimeen rahimahullahuta'ala - semoga Allah Ta'ala memberi rahmat kepada ruhnya serta menempatkannya dikalangan para solehiin-.
Kitab ini ditulis secara ringkas dan padat pengisiannya, sebagai kitab mukhtashar yakni kitab yang diringkaskan tulisannya tetapi penuh dengan isi yang penting dan menjadi teras kepada ilmunya yang bercabang-cabang. Dari sudut pembelajaran, kitab yang disusun seperti ini amat sesuai untuk ditelaah oleh para pencari ilmu yang baru hendak memulakan sessi pencarian ilmu fiqh sebagai pintu masuk kepada ilmu syara' yang lebih terperinci dan mendalam perbahasannya. Justeru, Syaikh Ibn Uthaimeen rahimahullah menamakan kitabnya dengan al-Ushul min 'Ilmi al-Ushul, kerana di dalam muqaddimah penulis, beliau menyebut bahawa kitab ini di tulis sesuai untuk kurikulum tahun ketiga Tsanawiyah di ma'had-ma'had ilmiyah. Ini merupakan kalimat yang biasa diucapkan oleh pelajar-pelajar di ma'had antara mereka apabila mereka bertanya tentang pelajaran, mereka mengatakan kami mempelajari ushul dalam ilmu ushul dan ditanyakan lagi apa nama kitabnya maka mereka sebut al-Ushul min 'Ilmi al-Ushul. (Syarah al-Ushul min 'Ilmi Ushul Abu Ya'qub)
Kepentingan Ilmu Ushul al-Fiqh. Sememangnya tidak boleh diabaikan kerana setiap bidang ilmu syariat, ilmu ushul menjadi teras pada setiap bidang tersebut, seumpama ilmu hadis ada ushulnya iaitu ushul hadis, ilmu tafsir ada ushul tafsir, ilmu akidah atau tauhid ada ushul akidah dan lain-lainnya. Maka para ulama ada mengatakan;
مَن حُرِم الأصول حُرِم الوصول
"Sesiapa terhalang dari ilmu ushul, terhalang pencapaian segala ilmu"
Pengertian al-Ushul akan saya berikan notanya pada entri akan datang dan begitu juga nota-nota seterusnya, semoga Allah Ta'ala menjadikan ianya bermanafaat buat saya dan mereka yang mengunjungi blog ini.
Sedikit sejarah tentang ilmu Ushul al-Fiqh sebagai pengetahuan umum. Ilmu Ushul Fiqh sudah dimaklumi disusun oleh imam mujtahid, al-Imam Muhammad bin Idris as-Syafi'e rahimahullahuta'ala (150-204 H) di dalam kitabnya al-Risalah. Ini tidaklah bermaksud sebelum daripada al-Imam tiada ilmu ushul fiqh. Ilmu ushul itu sudah ada pada masa sahabat lagi. Pada peringkat tersebut dinamakan sebagai peringkat perkembangan ilmu ini, para sahabat sudah tersedia memiliki keupayaan pemahaman yang tinggi terhadap nas-nas al-Qur'an serta al-Sunnah Rasulullah shallallahu'alaihiwa sallam di dalam dada-dada mereka. Kaedah-kaedah ushul daripada mereka radhiallahu'anhum ini telah dikenal pasti oleh para ulama tabi' dan tabi'in sehinggalah ianya disusun oleh al-Imam as-Syafi'e dalam bentuk penulisan kitab.
Saya hanya mengharapkan dengan perkongsian ini, Allah akan menambahkan ilmu yang bermanafaat buat diri saya dan membetulkan kesilapan saya menerusi komen-komen pengunjung, dan dengan ilmu ini akan mendekatkan saya kepada Allah Ta'ala dan bertambah ketaqwaan saya kepada-Nya.
Syed Osram Syed Husain
Comments
Post a Comment
Pandangan Anda ?