Kaedah Dalam Al-Asma was Sifaat.

Ini adalah kaedah-kaedah yang amat penting berhubungan dengan al-asma was sifaat. Apabila berbicara tentang al-asma was sifaat samada menetapkan atau menafikan atau bersikap neutral terhadapnya hendaknya berdasarkan kaedah-kaedah ini agar kita tidak terpesong dari akidah yang yang benar.

Kaedah Pertama:


Berhubungan dengan dalil-dalil al-Quran dan as-Sunnah hendaklah menetapkannya menurut zahirnya tanpa mengubahnya keluar dari makna tersebut tanpa dasar ilmu.

Asasnya adalah firman Allah subhanahuwata'ala :

بِلِسَانٍ عَرَبِيٍّ مُّبِينٍ 

(Dengan bahasa Arab yang terang) al-Syu'ara:195
Maka wajib menetapkan makna firman Allah dan sabda Rasul-Nya sebagaimana didalam bahasa tersebut kerana merubah maknanya adalah merupakan keceluparan terhadap nama Allah tanpa ilmu.

Dalilnya firman Allah ;
قُلْ إِنَّمَا حَرَّمَ رَبِّيَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ وَالْإِثْمَ وَالْبَغْيَ بِغَيْرِ الْحَقِّ وَأَن تُشْرِكُوا بِاللَّهِ مَا لَمْ يُنَزِّلْ بِهِ سُلْطَانًا وَأَن تَقُولُوا عَلَى اللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ
(Katakanlah, Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan keji samada yang nyata atau tersembunyi, perbuatan dosa, perbuatan menceroboh tanpa haq, mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah tidak menurunkan hujah untuk itu dan mengada-adakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui) al-A'raaf:33

Kaedah Kedua:


Berhubungan dengan nama-nama Allah terdapat beberapa cabang darinya:
  • Keseluruhan nama Allah adalah sangat baik.
Allah subhanahuwata'ala mempunyai nama-nama yang sangat baik, dipuncak keindahan kerana ia mengandungi sifat-sifat yang sempurna tiada kekurangan dari sisi manapun sekali.

Asasnya firman Allah;

وَلِلَّهِ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَىٰ فَادْعُوهُ بِهَا
(Bagi Allah adalah nama-nama yang baik) al-A'raaf:180

  • Nama-nama Allah tidak terbatas dengan jumlah.
Nama-nama Allah tidak terbatas kepada jumlah-jumlah tertentu dan jumlah 99 nama-nama Allah yang masyhur dikalangan kita bukanlah bererti Allah Ta'ala memiliki nama-nama sebatas 99 nama.

Fiqhnya ialah sebagaimana hadis,


اللهم أني أسألك بكل اسم هو لك سميت به نفسك أو أنزلته في كتابك أو علمته أحداً من خلقك أو استأثرت به في علم الغيب عندك 

(Ya Allah, aku memohon kepada-Mu dengan semua nama milik-Mu, yang dengannya Engkau menamakan DiriMu, atau Engkau menurunkannya dalam KitabMu, atau Engkau mengajarkannya kepada salah seorang makhlukMu, atau Engkau khususkan di ilmu ghaib di sisiMu.)

dan hadis; 

إِنَّ لِلَّهِ تِسْعَةً وَتِسْعِينَ اسْمًا مِائَةً إِلا وَاحِدًا مَنْ أَحْصَاهَا دَخَلَ الْجَنَّةَ
(Sesungguhnya Allah mempunyai 99 nama, seratus kurang satu, barangsiapa menghitungnya maka dia masuk syurga.)

Gabungan dari kedua hadis ini membawa kefahaman bahawa nama Allah tidak terbatas pada jumlah tertentu dan 99 nama Allah ialah sebahagian dari nama-namaNya yang diberi kelebihan beramal bagi sesiapa yang menghafalnya dan sentiasa berzikir dengannya. Sedangkan di sisi Allah masih lagi ada nama-nama-Nya yang baik dan indah yang termaktub dalam kitab-Nya, yang diajar kepada Nabi-Nya dan yang tersimpan khusus di alan ghaib yang tiada satu makhlukpun mengetahuinya.

  • Nama-nama Allah tidak ditetapkan dengan akal.
Nama-nama Allah adalah bersifat tauqifiyyah (terhenti pada al-Quran dan as-Sunnah) dan akal mustahil dapat mengetahui nama-nama yang terbaik untuk disandang kepada Allah Ta'ala. Sekiranya akal cuba menisbatkan nama kepada Allah sedangkan Allah tidak menisbatkan Diri-Nya dengan nama itu, maka hal itu merupakan keceluparan dan kelancangan terhadap-Nya.

  • Setiap nama-nama Allah menunjukkan kepada Zat-Nya, Sifat-Nya dan pengaruh dari-Nya sekiranya nama itu bersifat transitif (muta'addiy).
Mengimani nama-nama Allah yang baik tidak akan sempurna sehingga kita meyakini bahawa nama-nama Allah Ta'ala menunjukkan akan Zat-Nya, dan menetapkannya dengan sifat yang terkandung pada nama tersebut dan sekiranya nama-nama itu berbentuk transitif (memerlukan kepada objek) hendaklah diyakini akan pengaruh sifat dari nama-nama tersebut terlaksana.

Sebagai contoh,

Nama Allah ialah al-Rahmaan, maka mengimaninya tidak akan sempurna sehingga mengimaninya sebagai salah satu nama-nama Allah yang menunjukkan Zat-Nya, serta meyakini akan sifat yang terkandung didalamnya iaitu sifat rahmah dan oleh kerana sifat al-Rahman merupakan transitif maka meyakini bahawa Allah merahmati sesiapa yang Dia kehendaki.

Kaedah Ketiga:


Berkaitan denga sifat-sifat Allah Ta'ala maka terdapat beberapa kaedah cabang darinya.

  • Seluruh sifat-sifat Allah adalah tinggi, sempurna, pujian dan tidak ada kekurangan dari sisi manapun.
Semua sifat-sifat Allah adalah maha tinggi dan maha sempurna. 

Asasnya firman Allah Ta'ala;

وَلِلَّهِ الْمَثَلُ الْأَعْلَىٰ
(Dan Allah mempunyai sifat Maha Tinggi) al-Nahlu:60

Mustahil bagi Allah bersifat dengan sifat kekurangan yang tiada kesempurnaan padanya, seperti al-maut, al-jahl, al-ajz, as-shamam, al-a'ma dan seumpamanya.

Jika sifat itu disuatu sudut adalah sifat sempurna dan sudut lainnya ada kekurangan maka tidak ditetapkan sifat itu bagi Allah dan tidak pula dinafikan secara mutlak dari-Nya akan tetapi harus dirincikan. Sebagai contoh sifat makar, sifat makar ini menjadi sempurna pada sudut kemampuan untuk membalas pada lawan dengan perbuatan makar yang sama tetapi tidak pada sudut melakukan makar itu sendiri. Maka jika ditanya adakah makar itu sifat Allah jangan dijawab dengan "ya" atau "tidak" tetapi cukup dengan mengatakan Allah mampu melakukan makar kepada siapa yang melakukan makar. WALLAHU'ALAM.


  • Sifat-sifat Allah terbahagi kepada Tsubutiyyah dan Salbiyyah.
Tsubutiyyah ialah sifat yang Allah tetapkan untuk diri-Nya maka wajib ditetapkan bagi Allah selayak dengan-Nya seperti al-hayat, al-ilmu dan al-qudrah.

Salbiyah ialah sifat yang Allah nafikan dari diri-Nya maka harus dijauhkan sifat itu dari-Nya dan sebaliknya menyakini akan sifat yang sempurna bagi diri-Nya seperti sifat zalim maka wajib kita menafikan sifat ini dari Allah serta menetapkan hal yang sebaliknya iaitu maha adil bagi menetap akan kesempurnaan-Nya daripada sekadar menafikannya.

  • Sifat Tsubutiyyah ada yang bersifat Daztiyyah dan sifat Fi'iliyah
Sifat tsubutiyyah dengan dzatiyyah ialah sifat yang sentiasa bersama dengan Dzat-Nya seperti al-sam'u dan al-basar.

Sifat tsubutiyyah dengan fi'liyyah ialah sifat yang berkaitan dengan kehendak Allah seperti istiwa dan al-maji. Sifat-sifat ini boleh saja Allah tidak berkehendak melakukannya atau hendak melakukannya.

Sifat tsubutiyyah boleh ada dua sisi serentak antara dzatiyah dan fi'liyyah, seperti sifat al-kalam, al-kalam sentiasa menjadi sifat Dzat bagi-Nya dan satu sisi menjadi sifat fi'liyyah kerana berkaitan dengan kehendak Allah berbicara dengan siapa yang Dia kehendaki dan bila masa Dia kehendaki.

  • Sifat Allah adalah sifat hakiki.
Hakiki adalah dasar dalam setiap perkataan, sifat hakiki bagi Allah bermaksud tidak boleh berpaling dari hakikinya kecuali dengan dalil yang menghalangi makna hakikinya.

  • Sifat Allah tidak boleh ditetapkan bentuk dan caranya.
Akal tidak mungkin dapat mengetahui bagaimana bentuk dan cara dari sifat Allah.

  • Sifat Allah tidak menyerupai sifat-sifat makhluk.
Sifat Allah adalah sifat yang sempurna dan Allah Ta'ala berhak ke atas kesempurnaan maka tidak mungkin Dia menyerupai makhluk yang memiliki sifat kekurangan.

Tamstil ialah menetapkan rupa sifat dengan padanannya. Takyif pula ialah menetapkan rupa sifat tanpa berkait dengan padanannya.

Contoh,

Tamstil, "Tangan Allah seperti tangan manusia"

Takyif, membayangkan tangan Allah dalam bentuk tertentu tanpa padanan dengan tangan-tangan makhluk.

Kaedah Keempat:


Menyanggah al-Mu'atthilah, iaitu menyanggahi orang-orang yang mengingkari sebahagian dari nama-nama dan sifat-sifat Allah dan menyelewengi dalil-dalil dari zahirnya dengan menakwilkannya.

Kaedah mereka menyelisihi zahir dalil dan menyimpang dari manhaj salaf dengan tidak berdasarkan dalil yang sahih.


Wallahua'alam

Comments

Popular posts from this blog

Tasrif (تصريف): Pengenalan

Mengenal Kata Nama الأسم

Tanda Al-Ismu:"ا ل" dan التنوين