Al-E'RAAB الإعراب

1. PENGENALAN

Al-E’raab adalah suatu bab dalam perbahasan ilmu nahu. Ia adalah suatu ilmu yang menjelaskan kedudukan suatu kalimat atau jumlah dalam binaan ayat dan bagaimana ia dilafazkan bagi menunjukkan maksud yang ingin disampaikan.

2. DEFINISI

Al-E’raab dari sudut bahasa ialah  أفصح عنه   afsaohu ‘anhu, mengungkapkan sesuatu. Apabila kita hendak mengungkapkan sesuatu maka kita katakan أعربت عما في نفسي   , aku mengungkapkan tentang sesuatu dalam diriku.

Menurut istilah, الإعراب هو تغيير أواخر الكلم لاختلاف العوامل الداخلة عليها لفظا أو تقديرا  , ialah perubahan diakhir kalimat atau perkataan kerana perbezaan fungsi yang masuk ke atasnya secara nyata atau pada anggapan sahaja.

Kita perhatikan istilah ini, تغيير أواخر الكلم   , iaitu perubahan bacaan pada akhir huruf pada satu kalimah. Maksudnya, perubahan yang berlaku pada hujung sebuah kalimat, samada dibaca dhammah, fathah, kasrah atau jazam. Perhatikan, akhir kalimat, jadi perubahan pada pertengahan  dan awal sebuah kalimat tidak termasuk dalam perbahasan al-e’raab. Sebagaimana yang dimaklumi sebuah kalimah itu berharakat pada awal, pertengahan dan akhirnya, jadi e’raab dikhususkan perubahan pada akhir kalimat sahaja, perubahan yang berlaku pada pertengahan dan awal sebuah kalimah masuk ke dalam perbahasan ilmu sarf.

Kalimat yang menerima perubahan tersebut adalah terdiri dari kalimat Isim, kalimat Fi’el atau juga dalam bentuk ayat  jumlah ismiyyah, jumlah fi’liyyah dan syibhi jumlah.

Dalam satu keadaan khusus seperti isim mabni, perubahan diakhir kalimat tidak berlaku walaupun dimasuki fungsi ‘aamil lafzi atau ma’nawi. Keadaan ini dinamakan , e’raab al-mahalli iaitu kalimat tersebut tidak berubah diakhir hurufnya tetapi menempati posisi e’raab samada mubtada, faa’il, majrur dan seumpamanya.
Setelah itu, لاختلاف العوامل الداخلة عليها   iaitu perubahan disebabkan perbezaan al-‘awaamil (fungsi-fungsi) yang masuk mendahuluinya. Sebaliknya terdapat juga perubahan akhir kalimat yaang disebabkan oleh perbezaan bahasa. Jadi istilah ini menetapkan al-e’raab ialah perubahan yang berlaku hanya disebabkan kemasukan fungsi-fungsi bahasa seperti kemasukan fungsi huruf jar yang menjadikan akhir kalimat berbaris kasrah.

Al-‘awaamil adalah ism jama’ bagi al-‘aamil, ia terdapat dalam dua keadaan iaitu al-‘aamil lafzi dan al-amil ma’nawi. Al-aamil lafzi ialah fungsi bahasa yang wujud secara lafaz merubah harakat huruf akhir kalimat dalam suatu ayat. Manakala, al-‘aamil ma’nawi, fungsi bahasa yang tidak wujud secara lafaz melainkan secara makna yang merubah harakat akhir kalimat dalam suatu ayat. Al-‘aamil ma’nawi hanya ada dua keadaan, pertamanya al-ibtida` iaitu bila terletak dipermulaan ayat menjadi marfu’ dan keduanya, al-tajarrud iaitu fi’il mudhari’ yang tidak terikat dengan huruf menjadi marfu’. Kalimat yang dipengaruhi oleh al-‘awaamil dinamakan al-ma’mul, pengaruhnya adalah perubahan pada akhir huruf kalimat tersebut dalam empat keadaan iaitu marfu’, mansoub, majrur dan majzum.

Akhir sekali, لفظا أو تقديرا iaitu perubahan pada lafaz ( لفظي  ) atau pada anggapan ( تقديري  ).Perubahan nyata diakhir kalimat pada lafaz ini berlaku pada kalimat yang huruf akhirnya adalah sahih. Perubahan diakhir kalimat juga boleh berlaku pada anggapan atau taqdir tanpa melibatkan perubahan pada lafaz apabila akhir kalimatnya adalah huruf ‘illah. Perubahan pada lafaz adalah jelas, sebaliknya perubahan taqdir melibatkan kalimah huruf ‘illah terdiri dari huruf  ا ، و ، ي   pada semua keadaan e’raab samada marfu’, mansoub, majrur dan majzum.

Perbezaan tersebut boleh terjadi pada sebab ta’adzur iaitu terhalang lisan orang Arab menyebutnya dan thiqal iaitu berat bagi lisan orang Arab menyebutnya. Perubahan taqdir sebab ta’adzur berlaku pada huruf illah al-alif sahaja dan terhalang dari menzahirkan fathah, dhammah dan kasrah. Perubahan taqdiri sebab thiqal lebih longgar, terjadi pada huruf illah al-wau dan al-yaa’ dan hanya boleh menzahirkan fathah tetapi tidak dizahirkan baris dhammah dan kasrah sebab thiqal.
Berdasarkan kajian ini, e’raab boleh berada dalam tiga keadaan:

i. E’raab Lafzi
ii. E’raab Taqdiri
iii. E’raab Mahalli

Kita akan lanjutkan kajian al- e'raab pada posting akan datang tentang hukum-hukum atau pembahagian al-e'raab. Sekian dahulu.

Comments

Popular posts from this blog

Tasrif (تصريف): Pengenalan

Mengenal Kata Nama الأسم

Tanda Al-Ismu:"ا ل" dan التنوين